Orkim catat keuntungan bersih RM57.34 juta pada 9MFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Orkim catat keuntungan bersih RM57.34 juta pada 9MFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis – Orkim Berhad yang baru disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia mencatatkan prestasi kukuh bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025 dengan keuntungan bersih RM57.34 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Orkim berkata, pendapatan kumpulan mencecah RM225.6 juta bagi tempoh tersebut, disokong segmen produk petroleum bersih (CPP) yang terus menjadi penyumbang utama dengan hasil RM207.46 juta, manakala segmen LPG menyumbang RM18.13 juta. 

 

“Dua pelanggan utama menyumbang 83% daripada jumlah hasil kumpulan.

 

“Aset kumpulan meningkat kepada RM965.2 juta berbanding RM893 juta pada 31 Disember 2024, sebahagian besarnya daripada peningkatan tunai dan baki bank kepada RM131.5 juta. 

 

“Keuntungan sebelum cukai ialah sebanyak RM58.35 juta, manakala aktiviti operasi menjana aliran tunai bersih RM90.27 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah ekuiti meningkat kepada RM551.34 juta selepas mengambil kira pembayaran dividen RM50 juta kepada pemegang saham. 

 

Jumlah pinjaman kumpulan turut bertambah kepada RM371.3 juta berbanding RM311.0 juta pada tahun sebelumnya, selari dengan penstrukturan pembiayaan dan pergerakan modal kerja.

 

Orkim menjelaskan bahawa perniagaannya tidak terjejas oleh faktor bermusim kerana operasi pengangkutan petroleum dan LPG adalah berasaskan kontrak jangka panjang. 

 

Pihak pengurusan berkata kumpulan tidak berdepan sebarang isu luar biasa dalam suku ini manakala piawaian perakaunan baharu yang berkuat kuasa tidak memberi kesan material kepada prestasi kewangan. - DagangNews.com