Opus Asset Management dan Bank Islam bekerjasama tawar rumusan pelaburan patuh syariah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Opus Asset Management dan Bank Islam bekerjasama tawar rumusan pelaburan patuh syariah

Kerjasama strategik Opus Asset Management dan Bank Islam mampu memperkukuhkan ekosistem pelaburan Islamik di Malaysia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai - Opus Asset Management Sdn Bhd (OpusAM) dan Bank Islam Malaysia Berhad hari ini memeterai kerjasama strategik bagi memperluaskan penawaran rumusan pelaburan patuh Syariah kepada pelanggan baharu dan sedia ada Bank Islam di seluruh negara.

 

Di bawah kerjasama itu, Bank Islam akan bertindak sebagai rakan pengedar kepada tiga dana pelaburan patuh Syariah kendalian OpusAM iaitu Opus Shariah Cash Extra Fund, Opus Shariah Income Fund dan Opus SRI Sukuk Fund (Kelas B) yang ditawarkan menerusi lebih 100 cawangan Bank Islam di seluruh negara, berkuat kuasa 15 Julai 2025.

 

Pengarah Urusan Kumpulan OpusAM, Siaw Wei Tang berkata, pelabur memerlukan platform yang diyakini bagi memastikan pemeliharaan modal dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

 

“Kami menyasarkan untuk memperluaskan akses kepada produk pendapatan tetap patuh syariah yang menawarkan pulangan konsisten dan stabil.

 

“Dalam situasi lambakan skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, OpusAM komited mempromosi rumusan yang sah, beretika dan boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

OpusAM turut memperkukuh komitmen terhadap pelaburan bertanggungjawab dengan menjadi penandatangan Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab (UN PRI) disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak Mac 2024.

 

Kerjasama itu dimeterai melalui satu majlis rasmi yang dihadiri barisan pengurusan kanan kedua-dua pihak, dengan penandatanganan dilakukan oleh Wei Tang dan Pengarah Pengurusan Kekayaan Bank Islam, Datin Zaharah Abd Muttalib yang disaksikan Pengerusi Opus Islamic Asset Management, Noorshidah Ismail dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan (Perbankan Runcit) Bank Islam, Mizan Masram

 

Dalam masa sama, Bank Islam menekankan kesediaannya untuk menawarkan rumusan pelaburan alternatif yang dapat memenuhi keperluan pelabur berhemah dan sofistikated.

 

Mizan berkata, kerjasama dengan OpusAM ini mencerminkan komitmen berterusan Bank Islam dalam menawarkan lebih banyak pilihan pelaburan kepada pelanggan, menjangkaui simpanan konvensional seperti deposit tetap.

 

“Dana kendalian OpusAM dibangunkan dengan objektif pelaburan jangka pendek dan panjang yang seimbang, tanpa menjejaskan kecairan serta kestabilan portfolio.

 

“Kami mahu memperkasakan pelanggan untuk mengembangkan dan melindungi kekayaan mereka secara beretika dan berhemah,” katanya.

 

Kerjasama strategik ini dilihat mampu memperkukuh ekosistem pelaburan Islamik di Malaysia, selain menyokong agenda kelestarian kewangan berasaskan nilai (value-based intermediation) yang diterapkan dalam landskap kewangan Islam negara. - DagangNews.com