OPR diramal turun 25 mata asas kepada 2.75% pada suku ketiga 2025 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OPR diramal turun 25 mata asas kepada 2.75% pada suku ketiga 2025 - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) turun sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% pada suku ketiga tahun ini selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memotong Keperluan Rizab Berkannun (SRR) 100 mata asas kepada 1% berbanding 2% bermula 16 Mei 2025.

 

Katanya, langkah itu dilihat menyokong permintaan domestik memandangkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih lemah pada tahun ini tertakluk kepada ketidaktentuan perdagangan global disebabkan dasar perdagangan dan tarif timbal balas Presiden Donald Trump.

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah itu akan memudahkan bank mengurus kecairan dengan lebih baik dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran kewangan yang lebih besar dan menyediakan sokongan berterusan untuk aktiviti pengantaraan kewangan.

 

Pengurangan SRR akan memberikan kecairan kira-kira RM19 bilion dalam sistem perbankan.

 

Maybank IB berkata, Inflasi kekal sederhana pada paras 1.8% pada ketika ini tetapi firma penyelidikan itu meramalkan kadar inflasi yang lebih tinggi namun kekal terurus pada kadar 2% pada tahun ini. 

 

"Unjuran ini mengambil kira faktor-faktor yang berpunca daripada pembaharuan struktur dan fiskal serta pelarasan yang telah lama tertangguh, iaitu kenaikan kos buruh susulan peningkatan gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja asing serta pelaksanaan levi berbilang peringkat (yang masih belum dimuktamadkan).

 

"Selain itu, ia juga melibatkan langkah rasionalisasi subsidi petrol RON95 secara bersasar (dirancang pertengahan tahun), kenaikan cukai pihak berkuasa tempatan dan semakan kadar asas tarif elektrik oleh Tenaga Nasional (dijadualkan akhir Jun 2025)," katanya dalam satu nota kajian.

 

Maybank IB berkata, bagaimanapun, kini wujud sedikit ketidaktentuan sama ada langkah seperti rasionalisasi subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan mengikut perancangan (iaitu pertengahan tahun) berikutan kelewatan (berbanding tarikh asal 1 Mei 2025) dalam pelaksanaan kenaikan Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang kini turut melibatkan transaksi perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang sebelum ini dikecualikan.

 

Sementara itu, ringgit mengukuh dengan ketara berbanding dolar AS dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

 

Secara keseluruhan, kombinasi semasa antara “pertumbuhan–inflasi–Ringgit” ini mengurangkan halangan untuk pelonggaran dasar monetari. - DagangNews.com