KUALA LUMPUR 23 Jun - Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dihentikan sementara pagi ini susulan insiden pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tergelincir di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), pagi ini.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), selaku pengendali KIA memaklumkan, insiden tersebut berlaku sekitar pukul 11.30 pagi, yang memaksa penutupan landasan utama lapangan terbang bagi membolehkan kerja-kerja pemindahan pesawat dan pembersihan dijalankan dengan selamat.
"Satu notis kepada juruterbang telah dikeluarkan dan penutupan ini dijangka berterusan sehingga pukul 3 petang hari ini.
"Sepanjang tempoh penutupan ini, semua operasi penerbangan di KIA akan terjejas.
"Penumpang dinasihatkan untuk menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.
MAHB turut memaklumkan, maklumat terkini akan diberikan sebaik sahaja Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengisytiharkan landasan selamat untuk digunakan.- DagangNews.com








