KUALA LUMPUR 5 Jan — Jenayah dalam talian kini berkembang pantas seiring peningkatan penggunaan platform digital dalam urusan harian, sekali gus menghakis kepercayaan pengguna terhadap ekosistem digital yang sepatutnya selamat dan dipercayai.
Lebih membimbangkan, sindiket scam dan penyebar bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), kandungan lucah, kandungan sumbang serta kandungan berkaitan kemudaratan
diri semakin licik dengan memanipulasi kelemahan sistem, psikologi pengguna serta kelengahan tindak balas platform.
Dalam usaha menutup jurang perlindungan pengguna kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 dilihat sebagai mekanisme kawal selia baharu yang lebih tegas dan menyeluruh.

Di bawah ONSA, penyedia perkhidmatan digital diwajibkan melaksanakan pengesanan awal penipuan, mengehadkan penyebaran kandungan berunsur scam serta menurunkan kandungan berbahaya, berkaitan CSAM dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Pendekatan ini bertujuan memutuskan rantaian penipuan dan jenayah sebelum lebih ramai pengguna menjadi mangsa, bukan sekadar bergantung kepada aduan selepas kerugian berlaku.

ONSA turut menekankan prinsip pencegahan berasaskan risiko dengan mewajibkan platform menilai ancaman secara berterusan, membangunkan sistem keselamatan dalaman serta memperkukuh mekanisme pelaporan.
Dengan kewajipan pelan keselamatan dalam talian dan garis masa tindak balas yang jelas, akta ini meningkatkan akauntabiliti platform digital dan memberi perlindungan lebih awal kepada pengguna.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Azisyahirah Azizan
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Azisyahirah Azizan berkata, dari perspektif akademik, ONSA mampu memperkukuh perlindungan terhadap pelajar universiti yang semakin terdedah kepada buli siber, manipulasi maklumat, kebocoran data peribadi dan eksploitasi digital.
“Pada masa yang sama, akta ini meningkatkan keperluan literasi digital yang lebih komprehensif, menjadikan pelajar bukan sekadar pengguna teknologi tetapi individu yang sedar tanggungjawab etika, implikasi undang-undang dan integriti akademik,” katanya ketika ditemui DagangNews di Kangar.
Namun, beliau mengingatkan perlunya keseimbangan antara keselamatan digital dan kebebasan akademik.
“Jika tidak ditadbir dengan jelas, pelajar mungkin berasa terlalu terikat atau takut menyuarakan pandangan, sekali gus menjejaskan budaya wacana kritikal di universiti,” katanya.
Menurutnya, kejayaan ONSA bergantung kepada kesiapsiagaan institusi termasuk garis panduan yang jelas, sokongan teknikal, mekanisme pelaporan telus serta latihan berterusan kepada pensyarah dan pelajar.

Pakar Pergigian Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Mohd Hafizal Harudin
Sementara itu, Pakar Pergigian Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Mohd Hafizal Harudin ketika dihubungi berkata, penggubalan dan pewartaan ONSA pada 22 Mei 2025 membuktikan tahap keprihatinan kerajaan dalam menangani jenayah siber yang semakin meruncing.
Menurutnya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan lebih 15% peningkatan kes eksploitasi kanak-kanak dalam talian dikesan antara 2022 hingga 2024.
“Lebih 90% remaja berusia 13 hingga 17 tahun adalah pengguna tegar internet dan 70% berisiko terdedah kepada kandungan lucah, judi dan kandungan tidak berfaedah,” katanya.
Beliau berkata, ONSA tepat pada masanya kerana mengalihkan tanggungjawab keselamatan daripada pengguna kepada penyedia platform digital yang mempunyai keupayaan teknologi dan sumber untuk mengawal kandungan berisiko.

Muhammad Syafiq Iskandar
Pemilik jenama Yummytaki dan sebuah kafe di Perlis, Muhammad Syafiq Iskandar berkata, isu akaun palsu dan iklan penipuan berada pada tahap membimbangkan, khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang bergantung kepada media sosial dan iklan digital.
“Saya sendiri hampir menjadi mangsa penipuan tempahan palsu menggunakan nama institusi dan majlis rasmi. Jika tidak berwaspada, kerugian kewangan dan psikologi boleh berlaku,” katanya.
Menurutnya, ONSA 2025 memberi harapan kepada PMKS agar jenama kecil tidak lagi mudah dieksploitasi, selain membantu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk keluarga dan kanak-kanak.

Noor Sanizam Kamis
Bagi mewakili ibu bapa, Noor Sanizam Kamis berkata, sejak ONSA diperkenalkan, kandungan toksik seperti iklan judi dan unsur buli siber ditapis secara automatik.
“Platform kini menjadi pelindung barisan hadapan, bukan lagi meletakkan beban sepenuhnya kepada ibu bapa,” katanya.

Sabri Mat Alim
Sementara itu, pesara kerajaan, Sabri Mat Alim berkata, ONSA meningkatkan keyakinan warga emas untuk menggunakan perbankan dalam talian dan media digital.
“Mesej scam dan iklan skim cepat kaya semakin berkurang. Kami rasa lebih selamat dan dilindungi,” katanya.
Secara keseluruhannya, ONSA 2025 dilihat sebagai asas penting ke arah membina ekosistem digital yang lebih selamat, mapan dan dipercayai.
Gabungan undang-undang yang kukuh, penguatkuasaan berkesan serta pendidikan literasi digital diyakini mampu melindungi pengguna daripada penipuan kewangan, eksploitasi digital dan ancaman siber, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara. - DagangNews.com








