OMS Energy pasang sistem kawalan telaga pintar pertama di Pakistan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OMS Energy pasang sistem kawalan telaga pintar pertama di Pakistan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt – OMS Energy Technologies Inc terus mengukuhkan kedudukan globalnya apabila berjaya memasang sistem kawalan telaga pintar pertama di Pakistan bagi projek bersama MOL Pakistan, anak syarikat milik penuh MOL Group.

 

Pencapaian itu adalah langkah strategik OMS untuk memperkukuh kedudukan dalam pasaran tenaga global, khususnya di Pakistan yang dilihat sebagai pasaran baharu dengan potensi besar.

 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif OMS, How Meng Hock berkata, pihaknya memainkan peranan penting dalam pembangunan dan mengintegrasikan sistem kawalan telaga pintar melalui kerjasama dengan beberapa syarikat perkhidmatan medan minyak utama. 

 

 

 

 

 

 

“Komponen sistem tersebut dihasilkan di loji pembuatan OMS di Singapura dan sudah melalui pelbagai ujian bentuk, kesesuaian dan fungsi yang disaksikan wakil MOL Pakistan sebelum dipasang di tapak projek.

 

“Sistem kawalan telaga pintar ini menggabungkan pemantauan masa nyata, automasi dan teknologi kawalan jauh untuk mengoptimumkan prestasi telaga, meningkatkan keselamatan serta memperbaiki kecekapan operasi. 

 

“Ia dijangka menyokong sasaran MOL Pakistan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran minyak negara itu secara mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, pengeluaran tempatan kini semakin berkurangan daripada satu perempat permintaan minyak negara.

 

“Oleh itu, Pakistan menawarkan peluang kerjasama teknologi yang sangat besar. Ini hanyalah permulaan komitmen jangka panjang OMS di negara itu,” katanya.

 

OMS turut menyertai kajian bersama Oil and Gas Development Company Limited (OGDC) dan Lahore University of Management Sciences bagi membangunkan kepakaran tempatan dan teknologi medan minyak. 

 

Program ini menyasarkan untuk memperkukuh tenaga kerja mahir dalam sektor tenaga Pakistan.

 

 

 

 

 

 

Selain itu, OMS turut menandatangani perjanjian perkhidmatan dengan Drillnetics Energy, penyedia perkhidmatan tenaga terkemuka di Pakistan, bagi membina rantaian bekalan tempatan yang lebih mampan dan kukuh.

 

Dengan kehadiran operasi merentasi Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), OMS komited memperluas kehadirannya di pasaran antarabangsa serta menyokong transformasi tenaga negara sedang membangun melalui teknologi inovatif dan kerjasama strategik jangka panjang. - DagangNews.com