OMH jual saham syarikat perlombongan bernilai RM436.5 juta kepada Exxaro | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OMH jual saham syarikat perlombongan bernilai RM436.5 juta kepada Exxaro

Gambar/OM Holdings Ltd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Mei - Syarikat peleburan mangan dan silikon, OM Holdings Ltd (OMH), melalui anak syarikat milik penuhnya, OMH (Mauritius) Corp, menandatangani perjanjian bersyarat dengan Exxaro Resources Ltd untuk menjual keseluruhan 26% pegangan dalam Ntsimbintle Mining Proprietary Ltd (NMPL) pada harga RM436.5 juta.

 

OMH berkata, NMPL memiliki 50.1% kepentingan dalam syarikat perlombongan mangan, Tshipi é Ntle Manganese Mining (Pty) Ltd, yang mengendalikan Lombong Tshipi Borwa di Afrika Selatan.

 

Syarikat itu menyatakan, urus niaga tersebut merangkumi saham OM Mauritius dalam NMPL beserta hak pemasaran berkaitan.

 

OMH memaklumkan, Ntsimbintle Holdings Proprietary Ltd (NH) memiliki baki 74% pegangan dalam NMPL dan kejayaan urus niaga berkenaan bergantung pada penjualan saham NH dalam NMPL serta kelulusan pihak berkuasa.

 

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif OMH, Low Ngee Tong berkata, tawaran daripada Exxaro yang juga syarikat komoditi utama dan tenaga yang beroperasi di Afrika Selatan, merupakan peluang menarik untuk meningkatkan nilai OMH dan mengalirkan semula modal kepada operasi teras perniagaannya.

 

"Kami berharap dapat memulakan hubungan komersial baharu dengan Exxaro dalam perniagaan bijih mangan Tshipi," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Dengan syarat kelulusan kawal selia dan pemenuhan syarat-syarat lain, urus niaga itu dijangka selesai pada awal 2026 selepas pemindahan hak milik kepada Exxaro.

 

Apabila urus niaga selesai, Exxaro akan membayar 95% kepada OM Mauritius, manakala baki 5% akan disimpan dalam akaun khas (eskrow) sebagai jaminan selama 12 bulan mengikut perjanjian. - DagangNews.com