KUALA LUMPUR 13 Okt - Omesti Berhad menerusi Formis Network Services Sdn Bhd menerima kontrak RM30.31 juta daripada Kementeri Dalam Negeri (KDN) bagi perkhidmatan penyelenggaraan pencegahan dan pembetulan Peralatan Rangkaian Setempat (LAN) serta keselamatan ICT di ibu pejabat dan cawangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Kumpulan itu berkata, kontrak itu adalah bagi tempoh 36 bulan bermula 15 Oktober 2025 hingga 14 Oktober 2028.
Kontrak itu bagaimanapun tertakluk kepada perjanjian rasmi yang akan dimeterai antara kerajaan dan Formis Network pada masa akan datang.
"Kontrak ini tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan serta pegangan saham pemegang saham utama syarikat.
"Bagaimanapun, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan sesaham, dan aset bersih sesaham kumpulan serta tidak akan memberi kesan material segera terhadap kedudukan hutang Omesti bagi tempoh kewangan dari 1 April 2024 hingga 30 September 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan kontrak itu, lembaga menjangkakan tiada sebarnag risiko lain akan timbul.
Tiada pengarah, pemegang saham utama, atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak ini.- DagangNews.com








