OM Holdings lengkapkan penjualan 26% kepentingan dalam Ntsimbintle Mining Proprietary, tidak lagi terlibat dengan lombong di Afrika Selatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OM Holdings lengkapkan penjualan 26% kepentingan dalam Ntsimbintle Mining Proprietary, tidak lagi terlibat dengan lombong di Afrika Selatan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac – OM Holdings Ltd telah melengkapkan penjualan 26% pegangan dalam Ntsimbintle Mining Proprietary Ltd (NMPL) kepada syarikat perlombongan berpangkalan di Afrika Selatan, Exxaro Resources Ltd.

 

Transaksi  yang bernilai RM474.12 juta itu dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh OM Holdings, OMH (Mauritius) Corp.

 

NMPL memegang 50.1% pegangan dalam Tshipi é Ntle Manganese Mining, pengendali lombong Tshipi Borwa di Kawasan Mangan Kalahari, Afrika Selatan.

 

Lombong itu adalah antara pusat operasi mangan terbesar di dunia dari segi pengeluaran dan eksport mangan gred tinggi, yang terletak di wilayah Northern Cape, Afrika Selatan.

 

Dengan penjualan itu, OM Holdings, yang terlibat dalam pengeluaran dan perdagangan produk mangan, termasuk ferroaloi mangan, ferrosilikon, silikon logam dan bijih sinter mangan, kini menamatkan penglibatannya dalam lombong tersebut.

 

Mangan yang dihasilkan daripada lombong itu digunakan untuk menguatkan keluli serta sebagai komponen penting dalam pengeluaran bateri bagi elektronik pengguna dan kenderaan elektrik, menjadikannya bahan strategik dalam industri berat dan teknologi.

 

OM Holdings pertama kali mengumumkan hasratnya untuk menjual 26% pegangan dalam NMPL pada Mei tahun lalu, bagi menumpukan sumber kepada aktiviti teras syarikat dan memperkukuh kedudukan kewangan.

 

Transaksi penstrukturan ini dijangka memberi manfaat kepada kedudukan kewangan syarikat serta memperkukuh strategi jangka panjang OM Holdings. - DagangNews.com