OM Holdings lengkapkan pembiayaan semula AS$168 juta, kukuhkan pengurusan modal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OM Holdings lengkapkan pembiayaan semula AS$168 juta, kukuhkan pengurusan modal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Anak syarikat OM Holdings Limited (OMH) iaitu OM Materials (S) Pte Ltd dan OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd, telah menyelesaikan pembiayaan semula AS$168 juta menerusi kemudahan hutang bersindiket.

 

Selain itu, kumpulan itu juga memperoleh modal kerja dan kemudahan jaminan bank, yang diatur secara berasingan dan dua hala, berjumlah kira-kira AS$136 juta.

 

Kemudahan hutang bersindiket itu telah digunakan sepenuhnya, manakala kemudahan modal kerja dan jaminan bank telah digunakan mengikut keperluan bagi memudahkan peralihan daripada kemudahan Projek Kewangan terdahulu.

 

"Kemudahan hutang bersindiket AS$168 juta yang baharu itu terdiri daripada pinjaman berjangka empat tahun dolar Amerika Syarikat (AS), kemudahan kredit pusingan dolar AS tiga tahun, serta kemudahan kredit prabayar dolar AS tiga tahun dengan pilihan lanjutan 12 bulan.

 

"Profil kematangan ini mencerminkan pendekatan berterusan syarikat secara berhemat dan berdisiplin terhadap pengurusan modal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kemudahan tersebut mendapat sokongan daripada perbankan bersindiket baharu dan sedia ada serta hasil telah digunakan pada mulanya untuk membiayai semula pinjaman yang dikeluarkan sebelum matang pada 2025 dan 2026, dan selepas itu untuk tujuan korporat am.

 

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif OMH, Low Ngee Tong berkata, pihaknya berbesar hari kerana berjaya membiayai semua di bawah syarat yang lebih menguntungkan.

 

Beliau berkata, penyertaan kedua-dua pemberi pinjaman baharu dan sedia ada, yang terdiri daripada gabungan pelbagai bank perdagangan global dan domestik, menandakan keyakinan dan sokongan yang kukuh terhadap operasi perniagaan syarikat di Malysia.

 

"Pembiayaan semula ini sejajar dengan strategi syarikat bagi mengurangkan kos pinjaman sambil memanjangkan profil kematangan, memastikan obligasi hutang diselaraskan dengan lebih baik dengan harga komoditi masa hadapan dan kitaran penjanaan hasil.

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan semua pemberi pinjaman dan meneruskan hubungan perniagaan yang kukuh," katanya.

 

Pembiayaan semula yang berjaya itu mengurangkan profil pelunasan hutang syarikat dalam tempoh empat tahun akan datang, dengan purata bayaran balik tahunan antara AS$35 juta hingga AS$40 juta.- DagangNews.com