Oktober dijangka catat pertumbuhan KDNK bulanan tertinggi tahun ini - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oktober dijangka catat pertumbuhan KDNK bulanan tertinggi tahun ini - Maybank IB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Dis – Maybank Investment Bank (Maybank IB) menganggarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencecah sekitar 6.2% tahun ke tahun (YoY) pada Oktober 2025, menjadikannya pertumbuhan bulanan tertinggi setakat tahun ini dan yang paling kukuh sejak Februari 2023.

 

Anggaran itu dibuat berdasarkan prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI), Indeks Perdagangan Pengedaran (DTI) dan pengeluaran Minyak Sawit Mentah (MSM) yang secara kolektif mewakili 50.5% daripada KDNK negara.

 

Menurut Maybank IB, pertumbuhan KDNK Oktober 2025 yang lebih tinggi ini mengatasi kadar 5.3% YoY pada September 2025, purata 5.2% YoY pada 3Q 2025, serta pertumbuhan terkumpul 4.7% YoY bagi 9M 2025.

 

“Prestasi ekonomi yang lebih kukuh pada Oktober dipacu oleh pertumbuhan IPI yang meningkat kepada 6.0% YoY, disokong terutamanya oleh sektor pembuatan yang berkembang lebih pantas pada 6.5% YoY, berbanding 5.0% YoY pada September.

 

“Pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh industri berorientasikan eksport yang melonjak 7.2% YoY, sejajar dengan pemulihan permintaan global, selain industri berasaskan domestik yang terus berkembang pada kadar 4.9% YoY,” kata firma itu dalam nota kajiannya.

 

Antara subsektor utama yang mencatat prestasi memberangsangkan termasuk Produk Elektrik dan Elektronik (E&E) yang melonjak 13.4% YoY, Makanan, Minuman dan Tembakau yang meningkat 10.6% YoY, serta Produk Bukan Logam, Mineral dan Fabrikasi Logam yang berkembang 4.8% YoY.

 

Bagaimanapun, Maybank IB berkata, beberapa subsektor mencatat pertumbuhan lebih sederhana, termasuk Peralatan Pengangkutan dan Pembuatan Lain yang hampir mendatar pada 0.1% YoY, manakala Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik terus menguncup walaupun pada kadar yang lebih kecil.

 

“Dalam sektor perlombongan, pertumbuhan output sederhana kepada 5.8% YoY berikutan pengembangan lebih perlahan dalam pengeluaran gas asli dan minyak mentah serta kondensat, manakala pertumbuhan sektor elektrik kekal sederhana pada 1.2% YoY.

 

“Sementara itu, pengeluaran CPO melonjak pada kadar dua digit dengan peningkatan 13.7% YoY dan 11.0% bulan ke bulan (MoM) pada Oktober 2025 apabila pengeluaran melepasi paras dua juta tan, sekali gus memberi sokongan tambahan kepada pertumbuhan ekonomi.

 

“Indeks Perdagangan Pengedaran (DTI) turut mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada 5.7% YoY, dipacu oleh peningkatan volum perdagangan borong dan jualan kenderaan bermotor, walaupun pertumbuhan runcit mencatat sedikit penyederhanaan,” katanya.

 

Dari segi sektor luaran, eksport berkembang lebih pantas pada 15.7% YoY dari segi nilai dan 10.9% YoY dari segi volum, manakala import meningkat 11.2% YoY, mencerminkan permintaan domestik dan luaran yang sihat.

 

Maybank IB turut menegaskan kitaran pelaburan masih utuh, disokong oleh lonjakan import barangan modal serta pertumbuhan berterusan pembiayaan perbankan kepada bangunan industri, kilang dan tanah.

 

Bagi keseluruhan tahun, Maybank IB mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar 2025 pada 4.7% dengan pertumbuhan suku keempat dianggarkan antara 4.6% hingga 5.0% YoY, sebelum sederhana kepada sekitar 4.5% pada 2026, selari dengan unjuran rasmi kerajaan. - DagangNews.com