OCK Group dijangka raih untung RM51 juta pada FY25 - Phillip Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OCK Group dijangka raih untung RM51 juta pada FY25 - Phillip Research

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 Mei - OCK Group Bhd dijangka mencatat keuntungan teras sebanyak RM51 juta bagi tahun kewangan FY25 untuk tempoh 18 bulan, susulan perubahan tarikh akhir tahun kewangannya daripada Disember ke Jun.

 

Bagi perbandingan 12 bulan yang setara, Phillip Research menurunkan unjuran pendapatan sesaham bagi FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 31% dan 42%, mencerminkan perkembangan sebenar dalam segmen perkhidmatan kontrak dan kejuruteraan rangkaian.

 

"Unjuran dividen sesaham juga diturunkan kepada 1.5 sen bagi FY25 dan 1.3 sen bagi FY26, berbanding anggaran sebelum ini iaitu 1.8 sen dan 2 sen. 

 

"Nisbah pembayaran dividen kini diunjur sekitar 30%," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sebelum ini, OCK secara purata membayar antara 18% hingga 45% daripada keuntungan bersihnya sebagai dividen. 

 

Pengurangan tersebut menunjukkan pendekatan kewangan yang lebih berhati-hati, selaras dengan pelaksanaan 5G secara berperingkat di rantau ini dan cabaran ekonomi semasa.

 

Phillip Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham OCK, dengan harga sasaran 66 sen sesaham. 

 

Sementara itu, portfolio menara yang diurus oleh OCK dijangka berkembang sebanyak 8% setiap tahun bagi FY25 dan FY26, serta 9% pada tahun FY27, didorong oleh pengembangan infrastruktur dan skala operasi yang berterusan.

 

Phillip Research berkata, ia disumbangkan pendapatan berulang yang besar bagi OCK, dengan 60% hingga 65% hasil dari penyewaan menara dan perkhidmatan yang diurus termasuk di luar negara.

 

"Di Indonesia, OCK menguruskan kira-kira 54,899 menara, dengan pegangan pasaran sebanyak 46%.

 

"Sementara itu di Vietnam, OCK memiliki 3,650 menara, dengan nisbah penyewaan kira-kira 1.2 kali dan nisbah penyewaan dijangka kekal stabil sepanjang FY25-FY27," jelasnya.

 

Phillip Research menambah, OCK juga memiliki 1,200 menara di Myanmar, dengan nisbah penyewaan 1.4 kali.

 

Dalam pada itu, OCK sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan kontrak membina 500 menara baharu dan mengukuhkan perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan, selaras dengan peningkatan permintaan menara telekomunikasi akibat pelaksanaan 5G di seluruh negara.

 

Syarikat itu juga dijangka meraih manfaat daripada pelaksanaan fasa dua projek Jendela yang melibatkan 2,700 tapak rangkaian baharu di seluruh Malaysia. 

 

Selain itu, penglibatan OCK dalam projek pusat data dan rumusan fiber dijangka mengukuhkan kedudukannya dalam sektor infrastruktur digital yang berkembang pesat.

 

OCK turut berpotensi memperoleh kontrak bernilai antara RM70 juta hingga RM100 juta melalui inisiatif Smart City yang menyasarkan pembangunan bandar pintar di Malaysia. - DagangNews.com