OCBC turunkan unjuran KDNK Malaysia 2025 kepada 4.3% susulan cabaran ekonomi global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OCBC turunkan unjuran KDNK Malaysia 2025 kepada 4.3% susulan cabaran ekonomi global

KUALA LUMPUR 22 April - OCBC Bank (Malaysia) Bhd menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2025 kepada 4.3 peratus, berbanding 4.5 peratus sebelum ini, susulan jangkaan permintaan luaran yang lemah dan cabaran ekonomi global yang berterusan.

 

Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Pasaran Global & Strategi OCBC, Selena Ling berkata, semakan semula itu turut mengambil kira pelaksanaan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) sebanyak 24 peratus ke atas eksport negara yang diumumkan awal bulan ini.

 

Menurutnya, sebahagian besar eksport Malaysia ke AS terdiri daripada produk semikonduktor dan elektrik dan elektronik (E&E), yang mewakili hampir 80 peratus daripada jumlah eksport negara.

 

 

 

"Sekiranya tarif semikonduktor benar-benar dilaksanakan, tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih besar. 

 

"Dalam senario paling buruk, pertumbuhan boleh turun ke sekitar 3.5 peratus," katanya semasa pembentangan unjuran ekonomi OCBC 2025, seperti laporan The Star.

 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, sebanyak 46 peratus eksport Malaysia ke AS masih dikecualikan daripada tarif, termasuk barangan seperti litar bersepadu elektronik, sel fotovoltaik, peralatan komunikasi dan mesin pemprosesan data.

 

Malaysia juga dilihat masih kompetitif berbanding negara jiran apabila kadar tarif 24 peratus yang dikenakan ke atas negara ini lebih rendah berbanding Vietnam (46%), Kemboja (49%), Thailand (37%) dan Laos (48%).

 

Mengulas dasar monetari, Ling menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan memberi keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi sekiranya berlaku kelembapan global, dengan kemungkinan penurunan kadar faedah pada 2026 sebanyak 50 mata asas, atau lebih awal sekiranya risiko terhadap pertumbuhan meningkat.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, prospek jangka sederhana Malaysia kekal positif, disokong oleh pelbagai dasar kerajaan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Peralihan Tenaga Negara, Strategi Semikonduktor Negara dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

 

Tambahnya lagi, walaupun ringgit dijangka terus berdepan tekanan dalam masa terdekat, faktor asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta prospek penyusutan nilai dolar AS dijangka dapat menyokong mata wang tempatan dalam jangka sederhana. - DagangNews.com