KUALA LUMPUR 2 Sept – Usahawan wanita kini berpeluang mendapatkan pembiayaan tanpa cagaran melalui program baharu yang diperkenalkan oleh OCBC Malaysia.
Selain pembiayaan, program OCBC Women Unlimited itu juga menyediakan rangkaian perniagaan dan perkongsian ilmu untuk menyokong perkembangan perniagaan usahawan wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Malaysia, Tan Chor Sen berkata, masalah utama yang sering dihadapi usahawan wanita adalah kesukaran mendapatkan pembiayaan kerana kekurangan cagaran.
“Keadaan ini membataskan keupayaan mereka untuk mengembangkan lagi operasi atau berinovasi.
“Melalui program ini, kami mengatasi isu tersebut dengan menawarkan pembiayaan tanpa cagaran bagi membuka peluang pertumbuhan baharu khas untuk mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah inisiatif ini, syarikat yang diketuai wanita berpeluang mendapatkan pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM600,000 sekali gus menyediakan akses kepada modal yang lebih mampu milik untuk melebarkan lagi operasi syarikat.
Program tersebut disokong oleh kerjasama Islamic Portfolio Guarantee-i (PG-i) bernilai RM100 juta antara OCBC Al-Amin Bank Bhd, unit perbankan Islam OCBC, dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).
Tambahnya, usahawan wanita kini menyumbang kira-kira 21% daripada portfolio PKS bank, meningkat daripada hanya 13% pada tahun 2020.
Katanya lagi, trend terkini menunjukkan semakin ramai usahawan wanita menceburi bidang berasaskan teknologi, melangkaui sektor tradisional seperti runcit dan penjagaan kesihatan.
“Perkembangan ini membuktikan peranan wanita yang semakin penting dalam membentuk masa depan ekonomi Malaysia.
"Pembiayaan ini diharap dapat membantu usahawan wanita agar dapat memperkasakan lagi perniagaan mereka," katanya. - DagangNews.com








