KUALA LUMPUR 13 Ogos - NuEnergy Gas Ltd, anak syarikat kepada Globaltec Formation Berhad berjaya menyiapkan kerja-kerja penggerudian telaga gas metana arang batu (CBM) ketiga iaitu TE-B060023 di kawasan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Tanjung EnimTanjung Enim, Sumatera Selatan, Indonesia.
Kumpulan itu berkata, ia merupakan telaga ketiga daripada empat telaga gas metana arang batu yang dirancang dan ia menyasarkan jualan gas awal sebanyak 1 juta kaki padu standard gas sehari (mmscfd).
“Telaga ini telah digerudi hingga kedalaman 420 meter dan lima lapisan arang batu telah ditembusi pada kedalaman antara 248 meter hingga 371 meter,” katanya dalam satu kenyataan.
Globaltec berkata, tanda-tanda kehadiran gas telah diperhatikan melalui log permukaan, mengesahkan kehadiran metana dalam beberapa lapisan.
Berdasarkan telaga-telaga terdahulu, GFB berkata NuEnergytelah memasang sistem pam rongga progresif yang merangkumi pemantauan jauh secara masa nyata bagi prestasi yang dioptimumkan.
“Keupayaan ini dijangka dapat mengurangkan masa henti operasi, meningkatkan kecekapan operasi, dan menyokong pengoptimuman prestasi jangka panjang,” katanya.
Kumpulan itu berkata, gas akan dikumpulkan di fasiliti permukaan dan dihantar kepada PT Perusahaan Gas Negara Tbk melalui saluran paip dalam medan, selaras dengan perjanjian utama yang telah ditandatangani.
NuEnergy memiliki tiga PSC CBM daratan di Sumatera Selatan, dengan tumpuan kepada penjanaan hasil daripada rizab dan membekalkan tenaga bersih kepada pasaran Indonesia yang semakin berkembang.
“Strategi NuEnergy adalah untuk menyatukan semua PSC miliknya di Sumatera Selatan sebagai hab CBM bagi membekalkan tenaga bersih yang mampan kepada pasaran tempatan dan negara,” katanya.
Dengan pelantar penggerudian kini sedang digerakkan ke telaga keempat, NuEnergy berada pada kedudukan terbaik untuk mencapai pengeluaran gas pertama, sekali gus memacu pulangan kepada pemegang saham di tengah-tengah permintaan tenaga Indonesia yang semakin meningkat. - DagangNews.com








