KUALA LUMPUR 13 Okt – Northport (Malaysia) Bhd, ahli Kumpulan MMC, mencatatkan rekod baharu bulanan tertinggi bagi pengendalian kargo konvensional pada September 2025.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Nik Muzani Nik Abdul Aziz berkata, jumlah keseluruhan pengendalian kargo konvensional Northport adalah 1,327,883 FWT (Freight Weight Tonnes), melebihi rekod tertinggi sebelum ini sebanyak 1,277,409 FWT yang dicatat pada Oktober 2024.
Beliau berkata, pencapaian ini menunjukkan kekuatan dan ketahanan operasi kargo konvensional Northport dalam menghadapi perubahan perdagangan serantau dan global.
“Prestasi cemerlang ini disokong oleh pertumbuhan positif merentasi semua segmen kargo.
“Segmen kargo pukal am mencatat 375,169 FWT pada September 2025, meningkat 18.6% berbanding September 2024, dengan kargo besi dan keluli menyumbang jumlah tertinggi sebanyak 289,629 FWT.
“Segmen kargo pukal cecair pula mencatat 399,086 FWT, meningkat 27.3% daripada tahun sebelumnya, dipacu terutamanya oleh kargo bahan kimia sebanyak 220,147 FWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, segmen kargo pukal kering mencatat 439,003 FWT, peningkatan 38.7% berbanding September 2024, dengan bijirin jagung menyumbang jumlah tertinggi 122,223 FWT.
Tambahnya, segmen Roll-On Roll-Off (RoRo) merekodkan 114,625 FWT, meningkat 23.7% daripada bulan yang sama tahun lalu.
“Pencapaian terbaharu ini menyerlahkan kekukuhan operasi dan kedudukan strategik syarikat dalam ekosistem maritim Malaysia.
“Pencapaian rekod baharu ini mencerminkan kepercayaan pelanggan terhadap kami, dedikasi warga kerja Northport serta keberkesanan inisiatif penambahbaikan berterusan. “Walaupun berdepan cabaran rantaian bekalan global, pasukan kami membuktikan ketahanan dan kecemerlangan dalam pengendalian kargo konvensional,” katanya.
Bagi tempoh Januari hingga September 2025, pengendalian kargo konvensional Northport berjumlah 9,600,675 FWT, meningkat 4.2% berbanding tempoh sama tahun 2024.

Untuk rekod, Northport mengendalikan 12,691,633 FWT kargo konvensional pada 2024, jumlah tahunan tertinggi sejak penubuhan syarikat pada 2001.
Nik Muzani berkata, pencapaian ini adalah bukti komitmen Northport terhadap kecemerlangan operasi dan kepuasan pelanggan.
“Menjelang suku terakhir 2025, kami akan terus menumpukan usaha meningkatkan produktiviti, memperluas keupayaan perkhidmatan serta menyokong pertumbuhan perdagangan negara melalui operasi pelabuhan yang cekap dan mampan,” katanya.
Northport kekal sebagai salah satu pelabuhan pelbagai guna terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan menyeluruh dalam pengendalian kargo kontena dan konvensional, serta memainkan peranan penting dalam menyokong ekosistem perdagangan dan perindustrian negara di bawah Kumpulan Pelabuhan MMC. - DagangNews.com








