KUALA LUMPUR 30 Dis – Northern Solar Holdings Berhad, penyedia perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyampaian (EPCC) solar di Malaysia, kekal optimis terhadap prospek 2026 berikutan kedudukan kewangan yang semakin kukuh dan pelaksanaan projek yang konsisten pada 2025.
Syarikat itu mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 40% bagi separuh pertama FY2026 kepada RM56.2 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM8.1 juta.
Margin keuntungan kekal sihat disokong oleh pengurusan kos berdisiplin dan harga panel solar yang rendah pada tempoh tersebut.
Northern Solar memasuki tahun 2026 pada saat industri solar Malaysia bergerak ke fasa bernilai tinggi.
Pengarah Urusan Northern Solar Lew Shoong Kai berkata peluang EPCC daripada projek solar berskala besar (LSS) PETRA 5+ sahaja dianggarkan mencapai sehingga RM5.9 bilion.
Beliau berkata peningkatan kerangka penjanaan dan penggunaan sendiri (self-consumption) serta kewajiban integrasi bateri (BESS) juga dijangka menyokong pertumbuhan industri.
“Pihak pengurusan menekankan strategi selektif bagi penglibatan projek, dengan memberi tumpuan kepada self-consumption, solar-plus-storage dan projek berskala besar, bukannya mengejar jumlah projek semata-mata.
“Langkah ini bertujuan mengekalkan margin keuntungan dan memastikan pelaksanaan projek yang dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang 2025, Northern Solar berjaya melaksanakan projek di segmen komersial, industri dan kediaman.
Syarikat juga mula menembusi bidang pertumbuhan berdekatan dengan menyiapkan projek solar bersepadu self-consumption yang digabungkan dengan BESS, sejajar dengan perubahan peraturan 2026.
Penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Februari 2025 meningkatkan modal syarikat, memperkukuh imbangan kewangan dan memperluas kapasiti untuk mengambil projek lebih besar dan teknikal kompleks dengan risiko terkawal.
Beliau berkata projek solar bersepadu dengan BESS menandakan Northern Solar berada di hadapan dalam penyelesaian solar-plus-storage.
“Ini penting memandangkan integrasi bateri akan diwajibkan untuk sistem bukan domestik berskala besar mulai Januari 2026.
“Syarikat turut meletakkan asas untuk penglibatan dalam projek utiliti dan solar berskala besar, sejajar dengan Pelan Peralihan Tenaga Nasional Malaysia yang mensasarkan 70% campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050,” katanya.
Analisis industri menunjukkan tenaga solar dijangka memainkan peranan yang semakin besar dalam kapasiti terpasang negara dalam beberapa dekad akan datang, sekali gus menyokong permintaan berterusan terhadap perkhidmatan EPCC serta infrastruktur sokongan seperti penyimpanan tenaga.
Tambahnya 2026 adalah tahun peralihan dari persediaan ke pelaksanaan, di mana skala, kekuatan kewangan dan disiplin pelaksanaan lebih penting berbanding pengumuman kapasiti sahaja.
“Syarikat memilih projek dengan berhati-hati untuk memastikan margin dijaga dan pelaksanaan boleh dipercayai, memanfaatkan kedudukan kewangan kukuh serta kepakaran dalam penyelesaian solar-plus-storage.
“Northern Solar terus menumpukan kepada pengembangan segmen solar atap, self-consumption dan berskala besar, dengan matlamat membina asas pendapatan yang lebih pelbagai dan kukuh,” katanya.
Syarikat yakin inisiatif ini akan menyokong pertumbuhan berterusan pada 2026 dan seterusnya, selari dengan evolusi landskap tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Dengan rekod menyiapkan lebih 2,000 projek tenaga solar, Northern Solar terus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan kecekapan tenaga negara, sambil memacu pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com








