Northern Solar bekerjasama dengan syarikat China, Northwest cari peluang Projek LSS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Northern Solar bekerjasama dengan syarikat China, Northwest cari peluang Projek LSS

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 April - Northern Solar Holdings Bhd yang baru disenaraikan, bekerjasama dengan sebuah syarikat milik kerajaan China dalam mencari peluang kerja bagi reka bentuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek solar berskala besar (LSS).

 

Sebelum disenaraikan pada Februari lalu, Northern Solar menyatakan tidak berminat untuk menyertai projek LSS, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada program solar di bumbung. 

 

Syarikat itu berkata, kumpulan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Northwest Electric Power Design Institute Co Ltd (NWEPDI).

 

NWEPDI, yang pakar dalam projek tenaga dan kemudahan, merupakan anak syarikat China Power Engineering Consulting Group Co Ltd, yang seterusnya adalah anak syarikat milik kerajaan China Energy Engineering Corporation Ltd.

 

"Menerusi kerjasama ini, kami akan menyertai bidaan bagi menjadi kontraktor utama untuk menyediakan perkhidmatan EPCC kepada pemaju yang berjaya mendapat projek LSS di bawah program LSS Petra dan LSS Petra 5+," kata Northern Solar dalam makluman di Bursa Malaysia.


 
LSS Petra, yang merujuk kepada pusingan kelima projek LSS yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia, menawarkan kapasiti keseluruhan sebanyak 2,000 megawatt (MW). 

 

LSS Petra 5+ juga mempunyai kapasiti 2,000MW, menjadikan jumlah keseluruhan 4,000MW.

 

Northern Solar berkata, sekiranya bidaan untuk projek LSS berjaya, kedua-dua pihak akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama, dengan Northern Solar memegang 51% saham dan NWEPDI 49%.

 

MoU itu sah untuk tempoh dua tahun atau tempoh lanjutan yang dipersetujui.

 

Menurut Northern Solar, perjanjian berkenaan akan ditadbir oleh undang-undang Singapura dan sebarang pertikaian mengenai kewujudan, kesahihan, atau penamatan perjanjian akan diselesaikan melalui penyelesaian pertikaian yang dikendalikan oleh Singapore International Arbitration Centre.

 

Sehingga November 2024, nilai buku tender Northern Solar adalah RM1.8 bilion, dengan tempahan yang belum dibilkan sebanyak RM83.2 juta, termasuk RM68.6 juta untuk projek EPCC. - DagangNews.com