KUALA LUMPUR 23 April - Norges Bank, yang menguruskan dana pencen kerajaan Norway, kini muncul sebagai pemegang saham utama dalam syarikat pengeluar peralatan ujian automatik (ATE), Pentamaster Corp Bhd, dengan pegangan sebanyak 5.26%.
Pentamaster berkata, Norges Bank membeli 300,000 saham syarikat pada 17 April lalu, menjadikan pegangan sahamnya dalam syarikat itu sebanyak 35.8 juta saham atau 5.03%, melepasi paras 5% yang diperlukan untuk dianggap sebagai pemegang saham utama.
"Pada 18 April 2025, Norges Bank membeli lagi 1.63 juta saham, meningkatkan pegangan sahamnya dalam syarikat pengeluar ATE tersebut kepada 5.26%," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Namun, dokumen tersebut tidak menyatakan harga pembelian saham.
Berdasarkan harga saham Pentamaster yang ditutup pada RM2.22 pada 17 April 2025 dan RM2.28 pada 18 April 2025, kiraan kasar menunjukkan bahawa 1.93 juta saham atau pegangan 0.27% itu bernilai sekitar RM4.38 juta.
Pemegang saham terbesar Pentamaster adalah pengasas bersama dan Pengerusi Eksekutifnya, Chuah Choon Bin, dengan pegangan sebanyak 19.76%.
Pemegang saham utama lain termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan 9.85%, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (8.14%) dan Lembaga Tabung Haji (5.48%).
Pentamaster mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM14.16 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024, penurunan sebanyak 31.6% berbanding RM20.7 juta pada tahun sebelumnya, disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah dalam segmen ATE.
Hasil suku tahunan pula merosot 22.7% berbanding tahun sebelumnya kepada RM130.68 juta, berbanding RM169.01 juta. - DagangNews.com








