Nord-Lock buka pusat pengedaran di Malaysia, singkatkan tempoh penghantaran ke seluruh Asia Pasifik  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nord-Lock buka pusat pengedaran di Malaysia, singkatkan tempoh penghantaran ke seluruh Asia Pasifik 

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 19 Mei – Nord-Lock Group membuka pusat pengedaran serantau (RDC) baharu di Northport, Selangor, bagi mempercepat penghantaran komponen industri penting lebih 50% ke seluruh Asia Pasifik.

 

Kemudahan berkeluasan 539 meter persegi itu dirasmikan oleh Duta Sweden ke Malaysia, Niklas Wiberg bersama Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Fakhrul Azhar Tajudin, dan Naib Presiden serta Ketua Unit Perniagaan Nord-Lock, Graham Souter.

 

Pusat itu dilengkapi sistem automasi berkecekapan tinggi yang mampu memproses penghantaran komponen berketepatan tinggi untuk sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), pembuatan automotif, dan projek infrastruktur di seluruh Asia Pasifik.

 

Naib Presiden dan Ketua Unit Perniagaan Nord-Lock Group, Graham Souter berkata, hab baharu itu menandakan peralihan kepada logistik industri yang lebih pintar, mampan, dan pantas.

 

"Kami kini mampu menghantar komponen penting dengan kelajuan luar biasa dalam mempercepat masa pusingan, mempertingkat keupayaan perkhidmatan, dan memberi kelebihan daya saing kepada pelanggan.

 

"Pusat ini adalah teras kepada komitmen kelestarian kami di Asia Pasifik dalam mengurangkan jejak karbon, menambah keandalan penghantaran, dan membolehkan harga lebih kompetitif kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Langkah itu turut menyokong strategi kelestarian syarikat, dengan sasaran mengurangkan penghantaran udara sehingga 25 kali sebulan melalui pengoptimuman pengangkutan laut dan darat.

 

Kemudahan itu turut menampilkan inisiatif hijau seperti penggunaan forklift elektrik, palet kayu kitar semula serta bahan pembungkusan mesra alam, selari dengan pendekatan menyeluruh syarikat terhadap alam sekitar.

 

Inisiatif itu seiring pertumbuhan kukuh sektor pembinaan (20.2%), pengangkutan (10.7%), dan pembuatan (4.6%) tahun ke tahun, yang memacu permintaan terhadap sistem pengikat berketepatan tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Fakhrul Azhar Tajudin berkata, kehadiran Nord-Lock Group sebagai penyewa mulai Januari 2025 menjadi satu lagi pencapaian penting bagi Northport Distripark sebagai hab logistik serantau.

 

"Dengan lokasi strategik, jaringan perhubungan menyeluruh dan perkhidmatan pelabuhan terintegrasi, kami yakin dapat menyokong pengembangan Nord-Lock di rantau ini," katanya.

 

Sementara itu, Wiberg menyifatkan pelaburan itu sebagai pengiktirafan terhadap peranan Malaysia sebagai hab serantau, khususnya ketika negara mempengerusikan ASEAN tahun ini.

 

"Komitmen Nord-Lock terhadap kelestarian sejajar usaha Sweden dalam inovasi hijau, termasuk penyertaan dalam Science Based Target Initiative serta pelaburan dalam teknologi keluli hijau," ujarnya.

 

RDC baharu itu dijangka menyokong lebih 5,000 penghantaran setahun melalui Malaysia, sekali gus menyumbang kepada sasaran negara untuk muncul sebagai hab logistik bernilai tinggi di peringkat serantau.- DagangNews.com