KUALA TERENGGANU 17 Sept – Noor Arfa Holdings Sdn Bhd optimis sasaran jualan sebanyak RM12 juta tahun ini dapat dicapai seiring dengan strategi pengembangan produk serta penembusan pasaran korporat.
Setakat ini, syarikat itu telah mencatatkan jualan RM7 juta dan yakin momentum tersebut akan terus meningkat didorong permintaan kukuh khususnya daripada golongan penjawat awam serta pelanggan setia batik tempatan.
Pengarah Urusannya, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin berkata, pihaknya kini memberi fokus kepada tempahan korporat yang mencatatkan peningkatan permintaan lebih 60% dalam pasaran.
Katanya, golongan penjawat awam serta sektor kerajaan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ini.
"Strategi baharu turut merangkumi pembangunan produk 'fast-moving' dengan harga yang lebih mesra poket seperti tudung, kain sarung velvet dan baju sedia dipakai.
"Langkah ini bertujuan mempelbagaikan aliran pendapatan dan menarik minat pelanggan baharu.
“Setiap minggu, Noor Arfa ada mengeluarkan produk dengan rekaan baharu yang sentiasa mendapat sambutan terutama untuk koleksi seragam pejabat,” katanya kepada DagangNews hari ini.

Ketika ini, Noor Arfa juga sedang rancak menambah bilangan reseller di seluruh negara yang akan menjadi pemangkin kepada perluasan rangkaian pengedaran serta mengukuhkan jenama di peringkat akar umbi.
Tambahnya, dalam aspek reka bentuk, syarikat itu memperkenalkan banyak koleksi baharu yang menampilkan kelainan berbanding motif tradisional.
"Antara tarikan terkini ialah rekaan abstrak ala doodle dengan gabungan warna pelangi yang segar dan moden.
"Selain itu, koleksi terbaharu kami turut mempamerkan rekaan abstrak bercorak flora dengan sentuhan warna pastel yang menekankan nilai estetik lembut, sesuai untuk pasaran generasi muda," katanya.

Penghasilan koleksi itu sejajar dengan usaha syarikat untuk menyesuaikan rekaan batik dengan trend semasa, sekali gus memastikan ia kekal relevan di pasaran domestik dan antarabangsa.
Sejak ditubuhkan 45 tahun lalu, syarikat batik terkemuka itu mempunyai 50 pekerja tempatan dan menjadi destinasi pelancongan tumpuan di Terengganu.- DagangNews.com








