Nextgreen tembusi pasaran Libya dengan eksport baja pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nextgreen tembusi pasaran Libya dengan eksport baja pertama

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 13 Mei – Nextgreen Global Bhd memulakan eksport baja pertamanya ke Libya menerusi perjanjian dengan syarikat bersekutu, P Teguh Nextgreen Sdn Bhd (PTNG) sebagai pengedar tunggal produk di negara itu.

 

Perjanjian itu merangkumi komitmen PTNG untuk membeli sehingga 25,000 tan biofertiliser setiap tahun, terdiri daripada 20,000 tan baja pepejal dan 5,000 tan baja cecair.

 

Pengarah Urusan Nextgreen, Datuk Lim Thiam Huat berkata, komitmen tersebut merupakan satu langkah penting yang turut mendapat sokongan kukuh daripada kerajaan Libya.

 

"Penghasilan baja itu bertujuan merumuskan cabaran utama agronomi seperti tanah yang kekurangan nutrien dan kekurangan sumber air.

 

"Sebagai penambah baik tanah semula jadi dan penyokong pertumbuhan tanaman, produk ini mampu memperbaiki kesuburan tanah, meningkatkan penyerapan nutrien, dan keupayaan tanah mengekalkan air, sekali gus memberi manfaat penting kepada amalan pertanian lestari di kawasan gersang seperti Libya," katanya dalam satu kenyataan.

 

PTNG turut memeterai perjanjian bekalan dan pembelian dengan dua syarikat Libya, iaitu Inbat Global for Importing Agricultural Machinery and Supplies (Inbat Global) dan Fazzan Cooperative Association for Organic Agriculture (Fazzan).

 

Inbat Global akan mengurus aspek perolehan dan bertindak sebagai pembekal sah kepada Fazzan, yang akan mengendalikan pengedaran produk di seluruh pasaran Libya.- DagangNews.com