KUALA LUMPUR 24 April - Naza Enviro Holdings Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat China, Grandblue Environment Co Ltd, bagi bekerjasama dalam projek pengurusan sisa pepejal dan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Kerjasama itu bertujuan membantu negara mencapai matlamat kelestarian alam sekitar dan menyokong peralihan kepada ekonomi yang lebih hijau dengan mengurangkan karbon.
Kedua-dua pihak merancang untuk menubuhkan usaha sama bagi menjalankan projek yang melibatkan pengurusan sisa pepejal, penjanaan tenaga dari sisa dan penghasilan hidrogen daripada sisa pepejal pada masa hadapan.
Naza Enviro telah lama terlibat dalam pengurusan tenaga boleh diperbaharui daripada sisa pepejal, dengan kemudahan Bukit Tagar Enviro Park (BTEP) yang sudah beroperasi sejak 2005.
Setakat ini, BTEP telah menjana lebih 440 juta kilowatt-jam (kWh) tenaga elektrik dan membantu mengurangkan 2.7 juta tan karbon.
Dengan kerjasama tersebut, Naza Enviro dan Grandblue akan membawa teknologi canggih untuk meningkatkan pengurusan sisa pepejal dan menghasilkan tenaga bersih.
Projek berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada Malaysia dengan membuka peluang pekerjaan dan membantu negara mengurangkan pelepasan karbon.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, kerjasama itu akan membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau dan rendah karbon.
"Usaha sama ini mencerminkan komitmen Naza Enviro untuk membangunkan Malaysia yang lebih bersih dan hijau melalui daya cipta, teknologi dan Kerjasama strategik antarabangsa.
"Kami bukan sekadar menukar sisa pepejal kepada tenaga, tetapi mengubah cabaran kepada peluang untuk kemajuan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani MoU tersebut dianjurkan bersempena kehadiran delegasi Grandblue di Majlis Naza Raya dan sambutan ulang tahun ke-50 Kumpulan Naza baru-baru ini.
Naza Enviro diwakili Pengarah Urusan Kumpulan Naza, Tan Sri Ismee Ismail, sementara Grandblue diwakili Presidennya, Jin Duo.
Turut hadir sebagai saksi Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Faliq SM Nasimuddin. - DagangNews.com







