KUALA LUMPUR 15 April - Naza Automotive Group (Naza Auto) merancang untuk menggandakan rangkaian pengedaran Suzuki Cars Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang sambil meneroka peluang jenama baharu, khususnya dalam kenderaan elektrik (EV).
Langkah itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula strategik kumpulan yang bakal menyambut ulang tahun ke-50 dalam industri automotif negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rizal Jailan berkata, pelan ini bukan sekadar bertujuan meningkatkan keuntungan tetapi lebih kepada mempersiapkan Naza Auto untuk menghadapi landskap pasaran yang semakin kompleks dan mencabar.
"Dengan memberi tumpuan kepada segmen perniagaan berimpak tinggi dan berdaya saing secara komersial, kumpulan ini menyasarkan peningkatan ketara dari segi keuntungan dan kecairan menjelang 2028," katanya dalam satu kenyataan.
Rizal berkata, kehadiran kumpulan dalam sektor automotif Malaysia merupakan suatu keutamaan.
Beliau berkata, pengembangan rangkaian Suzuki yang dirancang akan disokong pelaburan yang meningkat dalam platform digital bagi meningkatkan pengalaman dan penglibatan pelanggan.
Katanya, ia selaras dengan pertumbuhan jualan tahunan kenderaan Suzuki di seluruh negara yang dijangkakan.
Dari segi pasaran premium, Naza Auto bekerjasama dengan Mercedes-Benz Malaysia untuk membuka bilik pameran mewah baharu di NZ Wheels Bangsar, menjelang suku ketiga tahun ini.
Rizal berkata, memandangkan pasaran semakin kompetitif dan produk semakin canggih, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan kerana ia memberi kesan langsung kepada prestasi jualan dan seterusnya kesetiaan pelanggan terhadap jenama.
Naza Auto kekal terbuka kepada kerjasama jenama baharu terutamanya dalam segmen kenderaan elektrik.
Ia juga menjangka untuk menubuhkan pasaran ASEAN baharu tahun ini dengan memanfaatkan kerjasama jenama sedia ada.
"Dengan hala tuju strategik yang jelas dan tumpuan baharu terhadap kecemerlangan operasi, Naza Auto berada dalam kedudukan kukuh untuk menerajui fasa pertumbuhan seterusnya dalam industri automotif Malaysia yang dinamik," katanya dalam satu kenyataan.
Portfolio perniagaan sedang disemak secara menyeluruh bagi memastikan semua jenama berada pada landasan yang menguntungkan dan mampan.
“Pelarasan ini bukan semata-mata untuk keuntungan. Ia adalah pelaburan jangka panjang bagi menjamin kelangsungan perniagaan, dan nilai kepada semua pelanggan, rakan kongsi, dan pihak berkepentingan.
"Bagi memperkukuh tadbir urus, kumpulan ini sedang melaksanakan kawalan dalaman yang lebih kukuh, peningkatan standard pelaporan kewangan, dan audit pematuhan secara berkala. Pulangan atas ekuiti (ROE) menjadi metrik utama dengan sasaran ditetapkan pada 20% bagi perniagaan pengedaran dan 8% untuk peruncitan," kata Rizal dalam satu kenyataan.
Naza Auto juga sedang memperkukuh struktur tadbir urus melalui kawalan dalaman yang lebih mantap, standard pelaporan kewangan yang ditambah baik, dan audit pematuhan berkala untuk meningkatkan ketelusan dan keyakinan pihak berkepentingan.- DagangNews.com








