Nam Cheong jual kapal pesisir 4,000 DWT berharga RM83.1 juta kepada syarikat Vietnam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nam Cheong jual kapal pesisir 4,000 DWT berharga RM83.1 juta kepada syarikat Vietnam

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 24 Dis – Nam Cheong Ltd melupuskan sebuah kapal bekalan pelantar berkapasiti 4,000 DWT pada harga AS$20.5 juta (RM83.1 juta) kepada sebuah kumpulan luar pesisir dan marin berpangkalan di Vietnam.

 

Syarikat pembinaan kapal sokongan luar pesisir (OSV) berpangkalan di Sarawak dan disenaraikan di Singapura itu berkata, penyerahan dijadualkan pada Disember 2025 dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan bagi FY25.

 

Menurut syarikat itu, hasil bersih daripada penjualan berkenaan akan digunakan semula terutamanya untuk menyokong aktiviti pembinaan kapal kumpulan, sama ada bagi jualan kepada pihak luar atau bagi menyokong pengembangan flotila bagi meningkatkan asas pendapatan berulang bergantung kepada peluang pasaran semasa.

 

Nam Cheong berkata, penjualan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif penstrukturan semula flotilanya, yang membolehkan pelupusan kapal berusia pada harga yang menguntungkan di samping menyokong kitaran semula modal yang lebih cekap untuk operasi pembinaan kapal dalaman.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leong Seng Keat berkata, warisan kukuh Nam Cheong dalam pembinaan OSV serta pangkalan pelanggan global yang mantap membolehkan kumpulan mengenal pasti dan memanfaatkan peluang pasaran bagi pengewangan aset kapal.

 

“Ia membolehkan kumpulan merealisasikan potensi peningkatan pendapatan melalui penjualan kapal sedia ada yang telah berusia,” katanya.

 

Beliau menambah, keupayaan pembinaan kapal dalaman kumpulan melengkapkan strategi tersebut dengan menyediakan bekalan kapal yang mampan dan fleksibel, sama ada untuk tujuan jualan apabila peluang pasaran muncul atau bagi pengembangan flotila untuk meningkatkan aliran pendapatan berulang. - DagangNews.com