KUALA LUMPUR 11 April - MY E.G. Services Bhd (MyEG) bekerjasama dengan Guangxi Beitou IT Innovation Technology Investment Group dari China untuk menubuhkan Pusat Inovasi dan Kerjasama AI Malaysia-China yang juga dikenali sebagai Makmal AI China-ASEAN, bertempat di Menara Zetrix, Petaling Jaya.
Makmal itu merupakan yang pertama seumpamanya dan mendapat sokongan rasmi daripada kedua-dua kerajaan Malaysia dan China.
Ia juga merupakan sebahagian daripada perjanjian kerjasama antara kerajaan (G2G) untuk membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) antara kedua-dua negara.
Matlamat utama makmal tersebut adalah menggabungkan pakar AI, rantaian blok dan robotik dari China dan ASEAN untuk membangunkan produk AI yang sesuai untuk pasaran tempatan serta memperluas penggunaan teknologi merentasi sempadan.
Antara syarikat teknologi besar yang menyertai inisiatif berkenaan termasuk Huawei, Alibaba, DJI, Deepseek dan Leju Robot, selain penyertaan syarikat tempatan seperti HeiTech Padu.
Sistem pertama yang dilancarkan makmal itu adalah pengenalan digital bersama antara Malaysia dan wilayah Guangxi, yang akan memudahkan pengesahan identiti merentas negara terutamanya dalam sektor kewangan dan pelancongan.
Kerajaan Guangxi turut menyediakan dana sebanyak RM6.07 bilion bagi menyokong pelbagai projek di bawah program China-ASEAN tersebut, sekali gus memperkukuh peranan makmal berkenaan.
Pengerusi Beitou Group, Lai Shuiping berkata, makmal itu akan menghubungkan sumber AI dari China dengan penggunaan sebenar di rantau ASEAN.
Pengarah Urusan MyEG, TS Wong pula berpendapat, kerjasama tersebut akan mendorong gelombang baharu perkhidmatan masa depan, termasuk rancangan untuk meluaskan kehadiran ke negara ASEAN lain.
Inisiatif sama juga menyokong usaha berterusan MyEG dalam memperkukuh rantaian blok Zetrix sebagai kemudahan utama bersepadu Web3 dan AI merentas sempadan, sekali gus memperteguh peranan Malaysia dalam ekonomi digital serantau. - DagangNews.com








