KUALA LUMPUR 23 Dis – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengesyorkan tindakan terhadap enam syarikat yang dipercayai terlibat dalam kartel pengaturan bidaan berkaitan latihan perolehan oleh Penjara Kluang di Johor.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kesemua perusahaan terbabit telah melanggar Seksyen 4(2)(d) Akta Persaingan 2010 yang jelas melarang sebarang amalan pengaturan bidaan.
Kes berkenaan melibatkan 16 sebut harga dan satu tender dengan nilai perolehan antara RM30,000 hingga RM3 juta, menjadikan jumlah keseluruhan bernilai RM7.3 juta.
MyCC memaklumkan, perusahaan berkenaan yang tidak dinamakan, telah disyaki terlibat dalam pengaturan bidaan melalui pertukaran maklumat serta memudahkan penyerahan tender dan bidaan oleh pihak yang sama.
Tindakan itu, menurut suruhanjaya, mempunyai tujuan untuk menghalang, menyekat atau memesongkan persaingan secara signifikan dalam proses perolehan awam Jabatan Penjara Kluang.
Bagaimanapun, MyCC menegaskan keputusan cadangan itu merupakan dapatan sementara dan tidak membentuk penentuan muktamad bahawa perusahaan terbabit telah melanggar Akta Persaingan 2010.
“MyCC ingin menegaskan keputusan cadangan ini hanyalah dapatan sementara dan bukan keputusan muktamad,” menurut suruhanjaya itu.
MyCC berkata, semua perusahaan terlibat telah dimaklumkan mengenai cadangan penalti dan arahan, dan diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi bertulis.
Mereka juga akan diberi peluang untuk membuat representasi lisan kepada suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun berkata, suruhanjaya hanya akan mengeluarkan keputusan muktamad selepas meneliti sepenuhnya semua representasi yang dikemukakan oleh perusahaan terbabit bersama bukti yang diperoleh sepanjang siasatan dijalankan. - DagangNews.com








