KUALA LUMPUR 22 Mei - Mutiara Perlis melabur sebanyak RM17 juta untuk membeli 15 unit peralatan pengendalian kontena baharu jenama Kalmar melalui rakan strategiknya, Kumpulan Mach 1, dalam usaha menjadikan Perlis Inland Port (PIP) sebagai hab logistik masa depan untuk Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Peralatan baharu yang dibeli termasuk enam unit pengendali kontena bergerak, tiga pengendali kontena kosong dan enam traktor terminal.
Kesemuanya disesuaikan untuk memenuhi keperluan operasi kargo pelbagai cara di PIP.
Dengan penambahan peralatan itu, PIP dijangka mampu meningkatkan kapasiti pengendalian kargo secara signifikan bagi mencapai sasaran satu juta unit setara dua puluh kaki (TEU) setahun setelah projek siap sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad berkata, pembelian peralatan tersebut penting dalam usaha menjadikan PIP sebagai peneraju perkhidmatan pelabuhan darat.
"Kami bukan sahaja melabur dalam peralatan, tetapi juga dalam masa depan logistik negara dan perubahan negeri Perlis," katanya dalam satu kenyataan.
Terletak secara strategik dalam Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan bersempadan dengan Thailand, PIP dijangka menjadi pengubah permainan dalam logistik serantau dengan menghubungkan laluan perdagangan dari Malaysia ke Thailand, Laos dan China melalui Rangkaian Kereta Api Pan-Asia.
Pembelian peralatan berkenaan dilaksanakan melalui Mach 1, pengedar rasmi Kalmar di Malaysia sejak 2023, yang mempunyai kepakaran serantau dan pengalaman dalam operasi pelabuhan.
Mesin-mesin tersebut dibeli daripada Kalmar pada tahun 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Mach 1 Group, Pan Chee Seng, memberi jaminan bahawa bantuan teknikal 24 jam, sistem pemantauan Kalmar Insight dan pusat alat ganti di Singapura akan memastikan operasi PIP berjalan lancar dan mengikut piawaian antarabangsa.
Naib Presiden Kalmar bagi Asia-Asia Barat & Afrika (AMEA), Teo Yew Boon pula berkata, teknologi Kalmar akan menyediakan platform kukuh untuk perkembangan PIP selaras dengan trend pelabuhan global.
"Kerjasama ini menandakan permulaan kepada hubungan jangka panjang yang memberi tumpuan kepada rumusan berskala dan mesra pelanggan," jelasnya.
Fasa pertama projek PIP dijangka siap pada Julai 2025 dan mampu mengendalikan sehingga 300,000 TEU setahun, lebih dua kali ganda berbanding 130,000 TEU yang diuruskan di Terminal Kontena Padang Besar ketika ini.
Projek itu dijangka mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan, mengukuhkan hubungan perdagangan serantau dan mengurangkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan pantai negara.
Ia juga akan menjadikan Perlis sebagai pemain penting dalam pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). - DagangNews.com








