MSM disaman Ranhill berhubung penamatan projek loji rawatan sisa buangan di Tanjung Langsat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MSM disaman Ranhill berhubung penamatan projek loji rawatan sisa buangan di Tanjung Langsat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 April - MSM Malaysia Holdings Bhd telah disaman oleh anak syarikat Ranhill Utilities Bhd berhubung projek rawatan efluen industri yang gagal di Tanjung Langsat, Johor.

 

Ranhill Water Technologies Sdn Bhd (RWT) telah memulakan tuntutan mahkamah terhadap MSM Sugar Refinery Johor Sdn Bhd, berikutan penamatan kontrak RM6.1 juta untuk naik taraf loji, kata MSM dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

 

Pada Jun 2022, MSM Johor telah melantik RWT untuk menjalankan pentauliahan kilang itu, tetapi kontrak itu ditamatkan dua tahun kemudian kerana RWT didakwa gagal menyiapkan kerja itu.

 

“Projek itu tidak berjaya dan RWT enggan membetulkan atau menggantikan peralatan dan sistem yang gagal yang mengakibatkan penamatan kontraknya pada 2 Julai 2024 oleh MSM Johor,” kata MSM.

 

Penamatan kontrak serta pemfailan saman itu berlaku tahun lalu, tetapi kini hanya didedahkan oleh pengeluar gula bertapis terbesar negara itu kepada Bursa Malaysia. 

 

Mahkamah telah menjadualkan pengurusan kes pada hari hari ini.

 

RWT menuntut RM2.79 juta sebagai bayaran tertunggak, RM669,362 untuk kerja-kerja pengubahan, ganti rugi am dan beberapa pengisytiharan, termasuk penamatan itu adalah salah.

 

"RWT antara lain menegaskan, penamatan kontrak oleh MSM Johor adalah salah di sisi undang-undang, dan tidak mengikut prosedur kontrak. Oleh itu, ia adalah penolakan kontrak oleh MSM Johor.

 

“Kumpulan itu juga mendakwa, mereka telah menyelesaikan kerja-kerja menaik taraf dan pembetulan seperti yang dikehendaki di bawah kontrak, dan sewajarnya, tuntutan untuk jumlah baki kontrak dan untuk variasi,” kata MSM.

 

Kumpulan itu bagaimanapun menambah, ia telah memfailkan tuntutan balas terhadap RWT pada 3 September tahun lepas, menuntut sehingga RM4.4 juta untuk kos penggantian dan pembaikan, serta RM27.63 juta sebulan dalam anggaran kerugian dari tarikh penamatan.

 

"MSM Johor menegaskan projek itu telah gagal kerana RWT tidak menyiapkan kerja-kerja di bawah kontrak, dan oleh itu menuntut semua kerugian dan/atau kerosakan yang berkaitan akibatnya," katanya.

 

Kumpulan itu juga telah mengemukakan tuntutan untuk ganti rugi khusus, termasuk RM3.61 juta untuk kerja-kerja pembetulan dan RM400,000 untuk ujian dan pentauliahan, antara lain, tertakluk kepada penentuan muktamad.

 

MSM berkata, tuntutan undang-undang yang belum selesai dijangka memberi kesan material kepada kewangan kumpulan tetapi akan diiktiraf hanya apabila hasil positif hampir terjamin.

 

"Kedua-dua syarikat dan RWT sedang giat berusaha ke arah penyelesaian yang baik," katanya. - DagangNews.com