Buku pesanan MRCB cecah RM5.4 bilion selepas raih projek KSSA, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku pesanan MRCB cecah RM5.4 bilion selepas raih projek KSSA, kata penganalisis

Gambaran ilustrasi Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA). Gambar/FB MRCB
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Mei - Kejayaan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) memperoleh kontrak pembinaan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bernilai RM2.94 bilion, menjadikan jumlah nilai projek yang dimenangi syarikat itu kepada RM5.4 bilion tahun ini.

 

Angka tersebut hampir mencapai sasaran RM6 bilion syarikat.

 

Kontrak berkenaan dianugerahkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, minggu lalu.

 

Perkembangan itu membuatkan Hong Leong Investment Bank (HLIB) dan CIMB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham MRCB, masing-masing dengan harga sasaran 67 sen dan 83 sen.

 

Menurut kedua-dua firma penyelidikan tersebut, jumlah projek terkumpul MRCB tahun ini telah melepasi jangkaan awal mereka sebanyak RM4 bilion. 

 

"Jumlah itu boleh meningkat kepada RM6 bilion menjelang hujung tahun. Keuntungan utama selepas cukai dijangka turun sedikit sebanyak 0.9% tahun ini, tetapi dijangka meningkat 2.5% pada tahun 2026, dengan anggaran keuntungan mencecah RM88.7 juta pada 2027," katanya dalam satu nota kajian.

 

Pihak MRCB menjangka akan mendapat margin keuntungan sebelum cukai sekitar 5% dan kos pembiayaan telah pun dimasukkan dalam nilai kontrak.

 

Bayaran untuk projek selama 48 bulan itu akan dibuat melalui pertukaran tanah sehingga RM200 juta, tertakluk kepada persetujuan, manakala selebihnya akan dibayar secara tunai.

 

MRCB juga memaklumkan, bayaran akan dibuat secara berperingkat atau ditangguhkan.

 

HLIB turut menjangka, kaedah pembayaran tersebut akan menyebabkan nisbah hutang bersih MRCB meningkat daripada paras semasa iaitu 0.27 kali. 

 

"Namun, syarikat dijangka menyeimbangkan kewangannya melalui penjualan aset tidak teras untuk menjana tunai. 

 

"Projek pembangunan semula KL Sentral juga berpotensi dimulakan tahun ini, yang boleh meningkatkan lagi jumlah buku pesanan melebihi RM10 bilion," jelasnya.

 

CIMB Research pula melihat projek berkenaan sebagai berisiko rendah untuk dilaksanakan, dengan jangkaan margin keuntungan operasi antara 5% hingga 8% selepas menolak kos pembiayaan, berdasarkan pengalaman MRCB dalam projek besar.

 

Kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada November 2025 dan disasarkan siap pada tahun 2029.

 

CIMB Research menjelaskan, walaupun nilai kontrak naik tiga kali ganda, risiko pembiayaan tetap rendah kerana sebahagian besar bayaran akan dibuat secara tunai. 

 

Hanya 7% sahaja yang akan dibayar melalui pertukaran tanah, berbanding rancangan asal yang bergantung sepenuhnya kepada kaedah itu.

 

"MRCB masih mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan boleh menjual aset yang tidak penting jika perlu," ujarnya.

 

Walaupun projek yang dimenangi tahun ini sudah mencapai 90% daripada sasaran RM6 bilion, CIMB Research masih mengekalkan anggaran keuntungan sedia ada sehingga reka bentuk dan perincian projek dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan akan datang. - DagangNews.com