KUALA LUMPUR 5 Dis – MR DIY Group (M) Berhad dijangka mencatat pertumbuhan kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang disokong oleh kecekapan operasi melalui pengembangan kapasiti gudang automatic dan strategi perniagaan yang mantap, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Beli pada harga sasaran RM2.20.
MBSB Research berkata, gudang automatik seluas 600,000 kaki persegi akan mengurangkan intensiti tenaga kerja, meningkatkan ketepatan inventori dan menggantikan beberapa gudang sewaan.
Firma tersebut berkata, setelah beroperasi sepenuhnya pada 1QFY26, gudang ini dijangka meningkatkan produktiviti logistik dan mengurangkan kesesakan pengedaran seperti yang berlaku pada 4QFY24.
“Peralihan ini membolehkan MR D.I.Y. terus menikmati ketahanan margin walaupun kos gaji meningkat dan kos sewa di beberapa tempat naik.
“Margin kasar yang meningkat daripada 45.4% pada 2023 kepada 45.8% pada 2024, mencerminkan manfaat skala perolehan, penembusan jenama peribadi yang lebih baik, dan trend kos CNY yang menguntungkan.
“Kami meramalkan margin kasar meningkat lagi kepada 46.1% FY25, 46.5% FY26 dan 46.9% FY27 apabila gudang automatik mencapai kecekapan stabil. Margin Core PATANCI, yang menurun kepada 12.2% pada 2024 kerana tekanan logistik peralihan, dijangka stabil pada 12.1% pada 2025 dan meningkat kepada 12.4% FY26 dan 12.6% FY27,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Keupayaan bersaing MR D.I.Y disokong oleh strategi multi-format dan integrasi rantaian bekalan. Dengan format MR D.I.Y., MR DOLLAR, MR TOY, MR D.I.Y. PLUS, KKV, dan The Colorist, syarikat mampu merangkumi pelbagai segmen pengguna daripada B40 hingga Gen Z.
MBSB Research berkata, selain itu, model rantaian bekalan bersepadu membolehkan kawalan ke atas perolehan, logistik masuk, gudang, dan pengisian semula kedai. Lebih 34.5% produk kini diperoleh daripada pembekal tempatan, meningkatkan ketersediaan stok dan disiplin kos.
“Dari segi kewangan, aliran tunai operasi yang kukuh dan keperluan modal yang rendah membolehkan syarikat membiayai pengembangan sendiri sambil mengekalkan profil dividen menarik. Hutang dikurangkan pada FY24, membolehkan pelaburan dalam gudang automatik dan pembukaan MR D.I.Y. PLUS tanpa menjejaskan keseimbangan kewangan,” katanya.
Strategi pengembangan syarikat itu memfokuskan pembukaan 185 kedai baharu pada FY25 dan 155 pada FY26, termasuk 20–25 kedai KKV, manakala format PLUS pula dijangka meningkatkan produktiviti rangkaian secara keseluruhan.
Dari perspektif pasaran, MR D.I.Y. masih menghadapi persaingan daripada Eco-Shop, Daiso, Miniso, 99 Speedmart dan kedai perkakasan bebas, namun skala, integrasi rantaian bekalan dan strategi multi-format mengekalkan kedudukan dominan syarikat.
MBSB menilai MR D.I.Y. pada PER 30 kali berasaskan EPS FY26F 7.33 sen, hampir sejajar dengan purata tiga tahun, dan menekankan kombinasi skala dominan, pertumbuhan boleh diramalkan, kelebihan kos, dan strategi multi-format sebagai faktor utama untuk pertumbuhan berterusan. - DagangNews.com








