KUALA LUMPUR 7 Mei - MR DIY Group (M) Bhd dijangka mencatat prestasi kewangan kukuh bagi FY25, dengan keuntungan bersih teras disasar meningkat sebanyak 8.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
CIMB Securities berkata, pertumbuhan itu didorong oleh rancangan pengembangan runcit agresif, termasuk pertambahan 180 cawangan tahun ini, peningkatan 12.5 peratus berbanding 2024.
Katanya, syarikat juga dijangka menjimatkan kos selepas gudang automatik baharu mula beroperasi pada suku kedua tahun kewangan 2025.
Tambahnya, MR DIY turut mendapat manfaat daripada rangkaian kedai yang semakin berkembang, yang membantu meningkatkan kecekapan operasi.
Menurut CIMB Securities, keuntungan bersih teras MR DIY bagi suku pertama berjumlah RM176 juta, meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun, sejajar dengan unjuran firma itu serta jangkaan Bloomberg bagi prestasi sepanjang tahun.
"Kami percaya prestasi suku pertama yang kukuh ini telah dijangka, didorong oleh permintaan musim perayaan berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lebih awal tahun ini," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berpendapat, Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) tidak banyak memberi kesan atau mungkin sedikit menguntungkan MR DIY.
Walaupun situasi tersebut mungkin menjejaskan ekonomi dan perbelanjaan pengguna, MR DIY dijangka tetap untung berikutan syarat perniagaan yang berbaloi daripada pembekal dan tukaran mata wang yang menguntungkan.
CIMB Securities mengekalkan unjuran pendapatan MR DIY untuk 2025 hingga 2027, dengan penarafan 'beli' dan harga sasaran RM2.15 sesaham.
"Kami masih yakin dengan prospek kukuh MR DIY, kedudukannya sebagai peruncit barangan pembaikan rumah terbesar di Malaysia dan kewangan yang stabil," menurut firma itu. - DagangNews.com








