Mondelēz lantik Simon Crowther sebagai Pengarah Urusan Malaysia, Singapura mulai 1 Jan 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mondelēz lantik Simon Crowther sebagai Pengarah Urusan Malaysia, Singapura mulai 1 Jan 2026

Simon Crowther
Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Jan – Mondelēz International, pengeluar jenama ikonik seperti Cadbury Dairy Milk, OREO, Chipsmore dan Jacob’s, mengumumkan pelantikan Simon Crowther sebagai Pengarah Urusan bagi Malaysia dan Singapura berkuat kuasa 1 Januari 2026.

 

Dalam satu kenyataan, Mondelēz berkata, Simon akan menerajui agenda pertumbuhan strategik syarikat, operasi komersial serta pembangunan jenama bagi pasaran Malaysia dan Singapura.

 

Menurut Mondelēz, Simon membawa lebih 16 tahun pengalaman global dan serantau bersama syarikat itu, dengan rekod kepimpinan merentas fungsi pemasaran, jualan dan pembangunan kategori. 

 

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Pemasaran, Seasonal Confectionery Mondelēz UK, di mana beliau mengetuai strategi inovasi dan portfolio bagi segmen perayaan dan hadiah, antara segmen paling signifikan dari segi komersial di pasaran konfeksi United Kingdom.

 

Mondelēz berkata Simon bukan wajah baharu di Malaysia, setelah pernah berkhidmat di negara ini pada peringkat awal kerjayanya.

 

Pengalaman tersebut memberinya pemahaman mendalam mengenai tingkah laku pengguna tempatan, dinamik runcit serta kepelbagaian budaya yang membentuk landskap snek di Malaysia.

 

“Pelantikan ini mencerminkan komitmen Mondelēz International untuk memastikan kepimpinan berpengalaman dengan kefahaman pasaran yang kukuh,” menurut kenyataan itu.

 

Simon berkata beliau berbesar hati untuk kembali ke Malaysia dan menerajui pasaran yang mempunyai budaya snek yang kaya dan dinamik.

 

“Saya amat berbesar hati dan teruja untuk kembali ke Malaysia dan memimpin pasaran dengan budaya snek yang begitu unik dan meriah. Saya menantikan kerjasama rapat dengan pasukan, pelanggan dan pihak berkepentingan kami untuk terus menyampaikan snek yang tepat, pada masa yang sesuai dan dihasilkan dengan cara yang betul untuk pengguna di seluruh negara,” katanya.

 

Simon menggantikan Narmeen Khan, yang telah memulakan peranan baharu di organisasi lain.

 

Berpangkalan di Kuala Lumpur, beliau akan mengetuai pasukan yang memberi tumpuan kepada pembentukan masa depan kategori snek di Malaysia melalui inovasi, pertumbuhan bertanggungjawab dan pengalaman berteraskan pengguna.

 

Mondelēz berkata, pelantikan Simon turut menegaskan komitmen kumpulan itu dalam memupuk bakat dalaman serta membina barisan kepimpinan yang pelbagai di peringkat global.

 

Mondelēz International mempunyai kehadiran lama di Malaysia dengan kemudahan pembuatan di Shah Alam dan Prai, yang menyokong pasaran domestik serta eksport.

 

Menurut syarikat itu, Mondelēz akan terus memacu agenda snek bertanggungjawab, kelestarian dan program komuniti selaras dengan matlamat globalnya, Snacking Made Right. - DagangNews.com