KUALA LUMPUR 22 Sept - TMK Chemical Berhad berpotensi mencatatkan pemulihan pendapatan bermula suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25) didorong penjimatan kos serta momentum operasi yang semakin baik.
Affin Hwang Investment Bank berkata, dengan pemulihan yang sedang berlaku dan pemacu pertumbuhan struktur yang masih utuh, kumpulan itu dilihat sebagai pemain industri ASEAN yang berdaya tahan, mempunyai kejelasan pendapatan serta menawarkan nilai pelaburan menarik.
"Kami menyukai TMK Chemical kerana daya tahan perniagaannya, pendedahan kepada pertumbuhan ASEAN dan penilaian yang masih menarik," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur wajar mengubah persepsi terhadap kumpulan itu kerana ia bukan lagi sekadar syarikat kimia kitaran biasa, tetapi sebuah pemain industri berdaya tahan berasaskan rumusan produk.
Katanya, antara pemacu utama keuntungan kumpulan bagi tempoh 18 bulan akan datang termasuklah momentum kukuh di Singapura, pemulihan pasaran pembinaan di Vietnam, serta rancangan pengembangan kapasiti dengan sebuah kilang kedua yang dijangka siap pada suku keempat 2026 (4Q26).
Affin Hwang turut berkata, operasi TMK Chemical di Singapura kini menyumbang 30% daripada hasil kumpulan, dengan struktur kos yang menarik dan persaingan terhad yang membolehkan syarikat mengekalkan pertumbuhan keuntungan serta memperluas pegangan pasaran.
Katanya, di Vietnam, aktiviti pembinaan dijangka meningkat semula selepas beberapa tahun lembap, meletakkan kumpulan itu pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada kitaran pemulihan tersebut.
"Dari segi pengembangan kapasiti, kilang kedua yang dirancang dijangka menerima tempahan awal sekitar 60%, memandangkan kemudahan sedia ada hampir mencapai tahap penggunaan penuh — sekali gus memberikan kepastian pendapatan tambahan pada masa hadapan," katanya.
Affin Hwang mengunjurkan pendapatan suku tahunan TMK Chemical akan kembali normal sekitar RM30 juta atau lebih, dengan unjuran konservatif bagi tahun kewangan 2026 pada RM120 juta hingga RM140 juta. - DagangNews.com








