Momentum jualan Ford 2024 diperkukuh dengan pelancaran Ranger StormTrak, Ranger XLT Plus | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Momentum jualan Ford 2024 diperkukuh dengan pelancaran Ranger StormTrak, Ranger XLT Plus

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 April - Pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion Ford, berjaya mengekalkan momentum jualannya pada tahun 2024, yang mencerminkan keyakinan pengguna terhadap jenama tersebut.

 

Ia antara lain didorong pelancaran edisi terhad Ford Ranger StormTrak dan Ford Ranger XLT Plus Special Edition, yang mendapat sambutan positif di pasaran.

 

Auto ConneXion juga mengukuhkan kehadirannya di seluruh Malaysia dengan membuka sembilan galeri pameran baharu serta menaik taraf kemudahan di seluruh negara.

 

ford

 

Antara kemudahan terbaharu yang dibuka adalah Millennium di Kuantan, pusat 2S di Kapit dan Mukah, serta bilik pameran 3S terbesar di Pulau Pinang.

 

Pengarah Urusan Sime Motors untuk Asia Tenggara, Jeffrey Gan berkata, tahun 2024 merupakan tahun yang penting bagi Auto ConneXion.

 

"Kami menerima pelbagai anugerah industri yang mencerminkan komitmen kami dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

 

"Ia juga terbukti dengan pelaburan berterusan kami termasuk pembukaan lebih banyak bilik pameran dan peningkatan kemudahan," katanya dalam satu kenyataan.

 

ford

 

Beberapa bilik pameran yang dinaik taraf di bawah program Ford Signature adalah di Seremban (Trio Mantap), Kuala Terengganu (I-Expert), Kuala Lumpur (Capital Intertrade), Klang (Semangat Anggun), Sibu (Sibu Ngu Brothers) dan bilik pameran 3S terbesar di Pulau Pinang.

 

Selain itu, kemudahan penyelenggaraan kenderaan turut dibina di Kapit dan Mukah bagi memenuhi keperluan pelanggan di Malaysia Timur.

 

Syarikat juga merancang untuk menubuhkan pusat 3S baharu pada tahun 2025, iaitu Supreme Priority Kluang di Johor dan Millennium Automart Jalan Kuching di Kuala Lumpur.

 

Beberapa kemudahan juga akan dinaik taraf termasuk ALV Auto World, Trio Mantap Kajang, Tugu Etika dan TB Automotive menjelang hujung tahun ini.

 

ford

 

Pengembangan strategik Auto ConneXion dan pelaksanaan proses digital Ford Guest Experience yang dipertingkatkan di peringkat pengedar memastikan kecekapan yang optimum di seluruh cawangannya di Ara Damansara, Petaling Jaya, Kuching dan Pulau Pinang.

 

Proses naik taraf kemudahan di Supreme Priority Kluang, Sing Kwung Melaka, Boston Auto Kota Kinabalu dan I-Expert Kuala Terengganu pula disasarkan untuk siap pada separuh pertama 2025.

 

Pengarah Urusan Auto ConneXion, Turse Zuhair berkata, pasukan jualan dan selepas jualan yang terlatih dengan baik memastikan pelanggan menerima perkhidmatan cemerlang dan kepakaran teknikal.

 

"Dengan fokus strategik terhadap daya cipta dan naik taraf perkhidmatan, Auto ConneXion akan terus menetapkan piawaian baharu dan kami optimis dapat mengekalkan momentum ini pada tahun 2025, dengan membina kedudukan Ford sebagai jenama trak pikap nombor satu di Malaysia," katanya. - DagangNews.com