Mohd Amirul Rizal dilantik sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mohd Amirul Rizal dilantik sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 10 Dis – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) mengumumkan pelantikan Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim sebagai Ketua Pengarah baharu berkuat kuasa 8 Disember 2025.

 

Pelantikan itu dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, selaras dengan peruntukan Seksyen 10(1) Akta 481: Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992.

 

Mohd Amirul menggantikan Datuk Manoharan Periasamy yang bersara wajib pada 6 Disember 2025.

 

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, Mohd Amirul merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Pelancongan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan memulakan kerjaya bersama agensi itu pada 2 September 2002.

 

Sepanjang lebih 23 tahun perkhidmatan, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting dalam bidang pemasaran dan promosi pelancongan negara.

 

Antara jawatan yang pernah disandangnya termasuk di bahagian penyelidikan, sebelum dilantik sebagai Pengarah Pejabat Negeri Tourism Malaysia Terengganu dan seterusnya Pengarah Pejabat Luar Negeri Tourism Malaysia di Seoul, Korea Selatan pada 2008.

 

Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Promosi Domestik dan Acara, Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika) serta yang terkini sebagai Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan & Digital. 

 

Selain itu, beliau turut memainkan peranan penting sebagai Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

 

Tourism Malaysia berkata, selain memikul tanggungjawab dalam organisasi, Mohd Amirul juga aktif dalam persatuan dan kini dilantik sebagai Presiden Kelab Rekreasi Tourism Malaysia, mencerminkan kepimpinan yang seimbang dari segi strategik, operasi dan pemerkasaan warga kerja.

 

Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam pemasaran dan promosi pelancongan, pelantikan beliau diyakini mampu memberi impak positif kepada industri pelancongan negara, terutama dalam merealisasikan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).  - DagangNews.com