MNRB Holdings terbit kertas komersial RM500 juta, biaya modal kerja dan pelaburan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MNRB Holdings terbit kertas komersial RM500 juta, biaya modal kerja dan pelaburan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Sept - MNRB Holdings Bhd akan mewujudkan program kertas komersial (CP) bernilai nominal sehingga RM500 juta bagi memberi fleksibiliti tambahan kepada kumpulan dalam membiayai keperluan modal kerja, pelaburan dan perbelanjaan modal.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MNRB Holdings berkata, pihaknya pada 1 September 2026 telah menyerahkan maklumat serta dokumen berkaitan cadangan penubuhan program CP itu kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di bawah Rangka Kerja Serah dan Laksana (Lodge and Launch Framework).

 

Program CP berkenaan membolehkan MNRB Holdings menerbitkan CP dari semasa ke semasa sehingga nilai nominal maksimum RM500 juta.

 

Program itu mempunyai tempoh tujuh tahun bermula dari tarikh penerbitan pertama CP, manakala penerbitan pertama perlu dibuat dalam tempoh 90 hari bekerja dari tarikh penyerahan kepada SC atau dalam tempoh lain yang ditetapkan SC.

 

CP yang diterbitkan akan mempunyai tempoh matang antara satu hingga 12 bulan, dengan syarat ia matang sebelum tamat tempoh program CP.

 

Program berkenaan turut menerima penarafan kredit jangka pendek P1 daripada RAM Rating Services Bhd.

 

Menurut MNRB Holdings, hasil penerbitan CP akan digunakan untuk memenuhi keperluan modal kerja am, pelaburan strategik dan/atau am serta perbelanjaan modal.

 

Dana berkenaan turut boleh digunakan bagi tujuan pembiayaan semula, keperluan korporat am lain serta pembayaran perbelanjaan berkaitan program CP.

 

Langkah itu dijangka memberi MNRB Holdings sumber pembiayaan tambahan yang lebih fleksibel bagi menyokong keperluan operasi, pelaburan dan strategi pertumbuhan kumpulan.

 

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank Bhd dilantik sebagai Penasihat Utama, Pengatur Utama dan Pengurus Utama bagi program CP tersebut. - DagangNews.com