MN Holdings rancang pindah penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MN Holdings rancang pindah penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan – MN Holdings Berhad, penyedia perkhidmatan pembinaan dan kejuruteraan infrastruktur telah mencadangkan pemindahan senarai sahamnya dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Pemindahan ini turut disertai dengan cadangan pindaan pada Perlembagaan syarikat bagi memudahkan pelaksanaan proses berkenaan, menunjukkan kesungguhan MN Holdings untuk memperkukuh kedudukannya di pasaran modal utama.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, MN Holdings mencatatkan keuntungan bersih yang diagihkan kepada pemegang saham sebanyak kira-kira RM47.75 juta.

 

Jumlah keuntungan bersih syarikat dalam tempoh tiga tahun kewangan dari 2023 hingga 2025 pula berjumlah kira-kira RM74.16 juta.

 

Prestasi kewangan ini membuktikan trajektori pertumbuhan syarikat yang stabil serta kemajuan yang dicapai dalam memperkukuh kapasiti operasi dan keupayaan pelaksanaan projek.

 

MN Holdings berkata rancangan pemindahan ke Pasaran Utama dijangka meningkatkan profil korporat Kumpulan, memperkukuh keyakinan pelabur dan memberi akses kepada asas pelabur institusi yang lebih luas.

 

Pengarah Urusan MN Holdings  Datuk Clement Toh berkata pemindahan ke Pasaran Utama mencerminkan kemajuan syarikat selama beberapa tahun terakhir, yang disokong oleh pertumbuhan pendapatan konsisten, kedudukan kewangan kukuh dan portfolio projek yang berkembang.

 

“Langkah ini adalah kemajuan yang sejajar dengan skala semasa dan tahap kematangan syarikat.

 

“Pengurusan MN Holdings yakin platform Pasaran Utama akan meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti syarikat di kalangan pelanggan, rakan niaga dan pelabur, seterusnya menyokong objektif pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya.

 

Sekiranya semua kelulusan diperoleh, pemindahan ini dijangka selesai pada suku kedua 2026, menandakan satu lagi pencapaian penting sejak penyenaraian syarikat di Pasaran ACE pada April 2022. - DagangNews.com