KUALA LUMPUR 15 Mei - MN Holdings Bhd memperoleh projek bernilai RM37.91 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan awam dan elektrik yang dijadual berlangsung dari 14 Mei 2025 hingga 31 Mac 2027.
Projek berkenaan diberikan kepada anak syarikat milik penuh MN Holdings, Mutu Nusantara Sdn Bhd, yang merangkumi reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan, ujian, dan pentauliahan talian penghantaran bagi kemudahan sambungan tenaga daripada sisa yang terletak di wilayah tengah Semenanjung Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan utiliti itu memaklumkan pihaknya tidak dapat mendedahkan nama syarikat terlibat kerana belum menerima kebenaran rasmi untuk pendedahan.
Projek tersebut tidak memberi kesan kepada modal saham diterbitkan mahupun pegangan pemegang saham utama MN Holdings.
"Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham syarikat apabila projek bermula," kata MN Holdings.- DagangNews.com








