KUALA LUMPUR 25 Julai - Penyedia perkhidmatan logistik, MMAG Holdings Bhd memeterai perjanjian bagi memperoleh sebuah pesawat kargo Boeing 737-800 yang telah diubah suai, yang kini disewa oleh unit pengangkutan udara kumpulan itu pada harga AS$25.9 juta (RM109.85 juta).
Pembelian itu akan dibuat oleh cabang penerbangan kumpulan itu, MMAG Aviation Consortium Sdn Bhd (MAC) daripada GASL Ireland Leasing A-1 Ltd, yang merupakan sebahagian daripada Genesis Aircraft Services Ltd yang berpangkalan di Ireland.
MMAG berkata, pemerolehan itu akan meningkatkan jumlah pesawat kargo milik MAC kepada tiga buah, melengkapi armada sedia ada yang terdiri daripada empat pesawat sewaan.
Pengerusi MAC, Woo Kam Weng berkata, pemerolehan itu bukan sekadar penambahan pesawat tetapi mencerminkan hasrat strategik kumpulan untuk berkembang menjadi pengendali penerbangan yang benar-benar berdaya saing.
"Dengan kawalan yang lebih besar terhadap aset kami, ia memperkukuh keupayaan untuk bertindak balas dengan pantas terhadap keperluan pasaran, mengoptimumkan penggunaan armada dalaman dan meneroka saluran pendapatan baharu.
"Ini adalah langkah yang dirancang ke arah ketahanan jangka panjang dan pertumbuhan mampan dalam landskap logistik yang kompetitif," katanya dalam satu kenyataan.
Tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, pemerolehan itu akan diselesaikan melalui susunan pembayaran tunai berstruktur, dengan bayaran ansuran secara berperingkat dalam tempoh 14 bulan dan penyelesaian akhir semasa pemindahan pemilikan.
MMAG mencatatkan untung bersih sebanyak RM6.51 juta bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2025, dengan hasil sebanyak RM275.26 juta, disokong kontrak baharu daripada pelanggan sedia ada dan baharu, serta peningkatan jumlah kargo dalam segmen penerbangannya.
MMAG telah diklasifikasikan sebagai entiti Nota Panduan 3 (GN3) pada Oktober 2024, satu status yang biasanya diberikan kepada syarikat tersenarai di Pasaran ACE yang menghadapi masalah kewangan, selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah 50% daripada modal saham terbitan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.
Sebelum itu, pada Julai 2024, MMAG telah menukar tarikh akhir tahun kewangannya daripada Mac kepada September.
Pada November 2024, Bursa Securities telah memberikan pengecualian kepada syarikat itu daripada diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai yang terjejas di bawah GN3.- DagangNews.com








