MITI jadi pengeluar tunggal sijil eksport ke Amerika Syarikat bermula 6 Mei 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MITI jadi pengeluar tunggal sijil eksport ke Amerika Syarikat bermula 6 Mei 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menjadi pihak tunggal yang diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) untuk tujuan eksport ke Amerika Syarikat (AS) bermula 6 Mei 2025.

 

Kementerian itu berkata, langkah itu diambil bagi menangani isu kemungkinan berlaku transshipment dari negara tertentu ke pasaran Amerika Syarikat (AS) melalui pintu masuk dan keluar Malaysia.

 

Katanya, Kerajaan Madani menegaskan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk menegakkan integriti amalan perdagangan antarabangsa.

 

"Kerajaan memandang sebarang percubaan untuk mengelak tarif melalui pengisytiharan palsu, sama ada berkaitan dengan nilai barangan mahupun negara pengeluar asal barangan, sebagai satu kesalahan yang serius," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kementerian itu berkata, semua pengeluaran NPCO ke pasaran AS oleh majlis perniagaan, dewan atau persatuan yang dilantik oleh MITI, berdasarkan garis panduan pengeluaran NPCO yang ditetapkan oleh MITI, akan dihentikan dengan serta-merta. 

 

Dalam masa yang sama, MITI akan meningkatkan audit ke atas semua permohonan NPCO, menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, untuk membendung sebarang cubaan transshipment ke AS.

 

Dengan pelaksanaan dasar baharu itu, semua pengeksport ke AS disaran segera menyesuaikan operasi mereka dengan ketetapan MITI, bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada urusan eksport.

 

Maklumat lanjut dan panduan teknikal mengenai permohonan NPCO hanya melalui MITI boleh dirujuk menerusi laman web rasmi kementerian mulai 6 Mei 2025.- DagangNews.com