Minyak sawit mentah berpotensi diniagakan antara RM4,200 hingga RM4,500 setiap tan, kata MPOC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Minyak sawit mentah berpotensi diniagakan antara RM4,200 hingga RM4,500 setiap tan, kata MPOC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Harga minyak sawit mentah (MSM) berpotensi diniagakan antara RM4,200 hingga RM4,500 setiap tan dalam masa terdekat, disokong pasaran minyak sayuran global yang kukuh serta ketidaktentuan bekalan, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

 

“Potensi kenaikan harga adalah terhad akibat permintaan lemah daripada pasaran utama, namun sokongan datang daripada ketidaktentuan bekalan eksport, khususnya minyak sawit dari Indonesia serta minyak kacang soya dari Amerika Syarikat (AS) dan Brazil ekoran dasar biodiesel.

 

“Selain itu, harga minyak mentah yang stabil sekitar AS$60 (RM252.36) setong dengan potensi peningkatan turut menyokong harga minyak sayuran,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Inventori minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.2 juta tan pada Ogos lalu, paras tertinggi sejak Januari 2024, dipacu kenaikan pengeluaran sebanyak 43,000 tan kepada 1.85 juta tan, manakala eksport kekal mendatar pada 1.32 juta tan.

 

Walaupun stok meningkat, harga kekal berdaya tahan berikutan kekangan bekalan minyak sayuran global, dengan minyak sawit mendahului kenaikan pada suku ketiga dengan lonjakan sukuan sebanyak 10.9%.

 

MPOC berkata, permintaan global minyak sayuran dijangka mengatasi pengeluaran pada 2026, manakala dasar biodiesel di pasaran utama berpotensi mengehadkan lagi bekalan eksport.

 

Pengeluaran dijangka menurun secara bermusim menjelang November, yang seharusnya membantu meredakan tekanan inventori dan mengekalkan sokongan terhadap harga.

 

“Pada masa sama, eksport minyak sawit dari Indonesia berkemungkinan berkurangan daripada potensi sebenar sekiranya kerajaan meningkatkan mandat biodiesel kepada B50. Faktor-faktor ini dijangka terus menyokong harga minyak sayuran sepanjang baki tahun 2025,” kata MPOC.

 

Pertumbuhan pengeluaran kacang soya global pula dijangka merosot ketara kepada 2.5 juta tan pada 2025/26, berbanding lonjakan 27 juta tan pada 2024/25, susulan petani di AS dan Argentina beralih kepada tanaman lain yang lebih menguntungkan.

 

MPOC memaklumkan, harga kacang soya semasa sekitar AS$10.40 setiap gantang di Bursa CBOT adalah di bawah kos pengeluaran di AS yang dianggarkan sekitar AS$11.03 setiap gantang, merujuk kepada Persatuan Kacang Soya Amerika.

 

“Walaupun pengeluaran kacang soya global masih melebihi penggunaan pada 2026, kadar pengumpulan stok dijangka perlahan dengan ketara berbanding tiga tahun kebelakangan ini, sekali gus mengurangkan tekanan penurunan harga kacang soya,” katanya.

 

Inventori minyak sayuran di negara pengimport utama juga telah pulih. Stok minyak sayuran India naik 41% kepada 1.86 juta tan pada Ogos 2025, daripada 1.33 juta tan pada Mei. 

 

Di China, inventori minyak sayuran meningkat sejak Mei, mencecah 2.4 juta tan pada Ogos 2025, iaitu 21% lebih tinggi berbanding setahun lalu.

 

Stok minyak sawit di China pula berjumlah sekitar 646,000 tan setakat pertengahan September, bersamaan kira-kira tiga bulan bekalan tanpa sebarang import. - DagangNews.com