KUALA LUMPUR 13 Ogos – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-21 dijangka mencatat penyertaan global paling tinggi dengan pendaftaran lebih 2,300 gerai dari 45 negara telah disahkan setakat ini.
Ia meningkat dengan ketara berbanding 2,028 gerai pada edisi sebelum ini membuktikan minat luar biasa negara luar terhadap penganjuran acara itu.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, lebih 45,000 pengunjung dari seluruh dunia dijangka hadir ke MIHAS 2025 yang bakal menjadikannya sebagai pameran paling berimpak setakat ini.
“Pameran kali ini akan memfokuskan kepada inovasi, kelestarian, dan pendigitalan sebagai pemacu utama pertumbuhan.
“Ia turut menampilkan pusat pengetahuan (knowledge hub) bagi mempromosikan perkongsian ilmu mengenai pelaburan halal dan penyelarasan dasar.
“Program Sumber Antarabangsa pula menghubungkan pengeksport tempatan dengan pembeli antarabangsa terpilih melalui platform dagangan digital Madani (MDT) untuk padanan perniagaan secara nyata dan efisien,” katanya.
Bertemakan ‘Puncak Kecemerlangan Halal’, penganjuran MIHAS 2025 bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini yang memberi tumpuan kepada perdagangan yang lestari, inovatif, dan inklusif.
Tambahnya, ketika ini, Malaysia kekal sebagai antara peneraju ekonomi halal dunia dengan lebih 9,000 syarikat menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di mana 82 peratus daripadanya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Logo halal Malaysia turut mendapat pengiktirafan di hampir 50 negara hasil kerjasama dengan 85 badan pensijilan halal di 47 negara, berteraskan penguatkuasaan piawaian ketat yang menjadi rujukan banyak negara lain,” katanya. - DagangNews.com








