Mieco Chipboard bekal sehingga 200,000 tan palet kayu bernilai RM100 juta setahun kepada syarikat Korea, K-One | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mieco Chipboard bekal sehingga 200,000 tan palet kayu bernilai RM100 juta setahun kepada syarikat Korea, K-One

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Mieco Chipboard Berhad menerusi Mieco Manufacturing Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik dengan syarikat pengimport pelet kayau Korea, K-One Corporation (K-One) bagi membekalkan 160,000 hingga 200,000 tan pelet kayau bernilai RM100 juta setahun.

 

Kumpulan itu berkata, kerjasama itu adalah untuk tempoh lima tahun.

 

Mieco, jenama terkenal dalam sektor pembuatan berasaskan kayu, kini secara rasmi menceburi bidang pengeluaran pelet kayu, langkah penting kumpulan ke arah kelestarian.

 

Dikenali kerana menghasilkan papan cip dan papan laminasi berkualiti tinggi seperti Melamine Faced Chipboard (MFC) dan High-Pressure Laminate (HPL), Mieco akan memanfaatkan kepakaran serta kemudahan pembuatan sedia ada untuk menyokong pengembangan ke dalam pengeluaran pelet kayu ini.

 

Pengarah Eksekutif Mieco, Keith Ng Wei Ping berkata, ketika ekonomi global semakin menuju ke arah rumusan tenaga yang lebih hijau dan lestari, permintaan terhadap pelet kayu sebagai sumber bahan api boleh diperbaharui semakin meningkat.

 

"Langkah strategik ini membolehkan kami memasuki pasaran yang berkembang pesat sambil mengukuhkan komitmen jangka panjang terhadap tanggungjawab alam sekitar dan kekuatan perniagaan teras berasaskan kayu kami," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pengembangan itu mencerminkan visi Mieco, berkembang seiring landskap tenaga hijau, mengekalkan nilai, keupayaan dan kebolehpercayaan yang telah mentakrifkan syarikat itu sejak sekian lama.- DagangNews.com