KUALA LUMPUR 22 Mei - Prospek pasaran Ranhill Utilities Bhd masih berdepan ketidaktentuan ekoran keputusan kewangan terbaharu syarikat itu sekali lagi gagal memenuhi jangkaan kebanyakan firma penganalisis.
MIDF Research mengekalkan saranan 'jual' bagi saham Ranhill dan menurunkan harga sasarannya kepada RM1.02 sesaham, selepas mengurangkan unjuran keuntungan berikutan kos projek yang melebihi bajet di anak syarikatnya, Ranhill Worley Sdn Bhd (RWSB).
"Walaupun YTL Power sebagai pemegang saham baharu boleh membantu Ranhill melalui kepakaran dalam sektor air, harga saham Ranhill naik terlalu tinggi sejak April dan kini dianggap terlalu mahal, iaitu 24.2 kali ganda dari keuntungan dijangka pada tahun 2026, berbanding purata biasa 20 kali," kata MIDF Research dalam satu nota kajian.
Jelasnya, Ranhill juga dijangka terus mendapat keuntungan melalui anak syarikatnya, Ranhill SAJ Sdn Bhd, hasil pertumbuhan pusat data (DC) di Johor dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta Zon Kewangan Khas yang akan dibangunkan.
"Kami difahamkan kumpulan sedang bekerjasama dengan YTL Power dan kerajaan negeri Johor untuk mengenal pasti sumber air baharu serta menyusun semula struktur tarif," tambah MIDF Research.
Sementara itu, TA Securities turut mengurangkan unjuran keuntungan Ranhill bagi FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 15% dan 1% disebabkan kos projek yang lebih tinggi di RWSB.
Ia berkata, dalam sektor air, Johor akan mendapat manfaat daripada kemasukan kemudahan DC sebahagiannya berikutan permintaan tinggi dari Singapura.
Sebagai pengendali bekalan air dari sumber ke paip di Johor, TA Securities menjangkakan, Ranhill akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan air untuk tujuan penyejukan DC.
TA Securities juga memaklumkan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang mengkaji semula tarif air untuk sektor bukan domestik, termasuk industri DC.
"Jika dilaksanakan, semakan tarif ini boleh menjadi pemangkin positif untuk Ranhill," jelas TA Securities.
Firma penyelidikan itu menyatakan, bagi sektor tenaga, Ranhill telah mencadangkan lanjutan perjanjian pembelian tenaga (PPA) bagi loji jana kuasa Teluk Salut (190MW) yang akan tamat pada 2029, bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di Sabah.
Tambahnya, Ranhill juga berhasrat menyertai Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat yang diperkenalkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) yang membolehkan pengguna korporat mengakses elektrik hijau secara langsung daripada pengeluar tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu katanya, YTL Power, pemegang saham utama kumpulan, merancang membangunkan ladang solar 500MW di Taman Pusat Data YTL Johor di Kulai.
"Kami tidak menolak kemungkinan projek ini ditempatkan di bawah Ranhill, yang boleh menjadi pemangkin tambahan untuk kumpulan pada masa depan," ujar TA Securities.
Walaupun keuntungan diunjur menurun, TA Securities menaikkan harga sasaran Ranhill kepada RM1.40 kerana persekitaran kawal selia kini dilihat lebih terbuka untuk menaikkan tarif yang sejajar dengan keperluan pelaburan infrastruktur.
Oleh itu, TA Securities menaik taraf saranan saham Ranhill daripada 'jual' kepada 'beli' selepas harga saham susut dalam seminggu lalu.
RHB Research turut memberi saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.37, berdasarkan jangkaan permintaan air yang tinggi di Johor dalam beberapa tahun akan datang.
Ini disebabkan oleh pelaburan dalam industri seperti DC dan kilang yang berkait dengan JS-SEZ, serta kemungkinan kementerian akan memperkenal tarif air khas untuk DC. - DagangNews.com








