Metro Healthcare batal pembelian bangunan 4 tingkat RM9.5 juta di Subang Jaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Metro Healthcare batal pembelian bangunan 4 tingkat RM9.5 juta di Subang Jaya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Pakar perkhidmatan kesuburan, obstetrik dan ginekologi, Metro Healthcare Berhad membatalkan cadangan pengambilalihan sebuah bangunan empat tingkat bernilai RM9.5 juta di Subang Jaya.

 

Pengambilalihan tersebut yang dilakukan melaluiKW Tee Sdn Bhd bertujuan menyokong pengembangan strategik kumpulan dalam perkhidmatan obstetrik dan ginekologi.

 

Hartanah seluas 12,176 kaki persegi itu kini disewa dan beroperasi sebagai hospital bersalin swasta, dan dilihat sebagai aset penting dalam pelan pertumbuhan masa depan kumpulan.

 

"Bagaimanapun Metro Healthcare mengumumkan perjanjian itu telah ditamatkan selepas penjual, Summer Healthcare Sdn Bhd, gagal memenuhi obligasinya di bawah perjanjian jual beli (SPA) yang ditandatangani pada Februari lalu.

 

"Secara khusus, Summer Healthcare tidak menjelaskan baki perbezaan antara jumlah tebusan dan baki harga pembelian dalam tempoh tujuh hari selepas diberitahu oleh peguam KWT," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

KWT mengeluarkan notis penamatan kepada Summer Helathcare pada 21 Ogos, dengan menuntut bayaran balik deposit sebanyak RM665,000, bersama pampasan penuh terhadap semua kos dan perbelanjaan yang ditanggung berkaitan dengan SPA.

 

Kumpulan itu berkata, dengan penamatan itu, SPA dianggap batal serta tidak lagi berkuat kuasa.

 

Metro Healthcare menyatakan, penamatan itu tidak akan memberi sebarang kesan material terhadap modal saham kumpulan, pegangan saham pemegang saham utama, aset bersih sesaham, kadar hutang, atau pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

"Penamatan itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia," katanya.- DagangNews.com