Meta Bright pasang sistem solar fotovoltaik di dua premis Best Fresh Mart | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meta Bright pasang sistem solar fotovoltaik di dua premis Best Fresh Mart

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 April — Meta Bright Group Bhd melalui anak syarikatnya, FBO Land (Serendah) Sdn Bhd membangunkan projek solar fotovoltaik (PV) di pasar raya Best Fresh Mart Sdn Bhd di Kapar, Selangor, dan Bukit Rambai Putra, Melaka.


Projek-projek tersebut akan beroperasi di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih dengan Best Fresh Mart bersetuju untuk membeli semula tenaga boleh diperbaharui (RE) yang dijana pada kadar tarif solar diskaun selama tempoh 10 tahun.


Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, inisiatif hijau yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan Best Fresh Mart sejajar dengan matlamat kemampanan Meta Bright sendiri.


Menerusi perjanjian itu, FBO Land akan mereka bentuk, membiayai, membina, memasang dan menyelenggara sistem solar PV di dua premis cawangan Best Fresh Mart, dengan jumlah kapasiti pemasangan kira-kira 345.64 kilowatt-puncak (kWp).


"Ini namun tertakluk kepada pengesahan akhir daripada pihak berkuasa kawal selia, termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Tenaga (ST), dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA)," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, perjanjian dengan Best Fresh Mart menandakan satu lagi langkah ke hadapan untuk perniagaan tenaga boleh diperbaharui Meta Bright dan projek solar PV itu membolehkan perniagaan beralih kepada tenaga bersih tanpa modal pendahuluan.


Kerjasama antara dua syarikat berkenaan kata Kiew Lim, adalah penting memandangkan Best Fresh Mart pada ketika ini dalam fasa pengembangan untuk menjadikan aspek kemampanan sebagai bahagian teras daripada trajektori pertumbuhannya.


"Ketika Best Fresh Mart meneruskan pengembangan pesat mereka, kami bersedia untuk berkembang bersama dengan menyampaikan rumusan tenaga hijau dan kos efektif. 


"Projek ini mengukuhkan kedudukan kami dan komitmen terhadap amalan perniagaan mampan," katanya. - DagangNews.com