KUALA LUMPUR 29 April — Meta Bright Group Berhad memperoleh kontrak sebanyak RM30 juta daripada China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd (CSEC Malaysia) bagi membekalkan konkrit siap campur untuk projek Boulevard 360 Bundusan di Sabah.
CSEC Malaysia merupakan syarikat pembinaan di bawah China State Construction Engineering Corporation milik kerajaan China di Malaysia dan kontrak itu telah dianugerahkan kepada anak syarikat milik 70 peratus Meta Bright, Expogaya Sdn Bhd.
Nilai sementara kontrak itu ialah RM30 juta, dengan jumlah terakhir tertakluk kepada amaun sebenar bahan yang dibekalkan manakala tempoh kerja-kerja adalah lebih tiga tahun, bermula dari 28 April 2025 sehingga 31 Ogos 2028.
"Kontrak berkenaan adalah pesanan bekalan awal untuk kemajuan projek yang sedia ada, dengan ada potensi bagi tempahan tambahan berdasarkan kepada prestasi dan penghantaran Expogaya," kata Meta Bright dalam satu kenyataan.
Boulevard 360 Bundusan, merupakan pembangunan bercampur di Penampang, Kota Kinabalu, dengan nilai pembangunan kasar RM1.1 bilion meliputi tiga menara kediaman moden bersama-sama ruang komersial berkeluasan kira-kira 30,660 meter persegi.
Meta Bright ialah kumpulan syarikat yang pelbagai kepentingan dalam pembangunan hartanah, hospitaliti, hartanah pelaburan, pajakan dan pembiayaan, serta tenaga boleh diperbaharui.
Pemegang saham terbesarnya ialah Pengarah Eksekutif, Lee Wai Mun, yang menguasai sebanyak 51.6 peratus kepentingan melalui Leading Ventures Sdn Bhd.
Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, kontrak itu meletakkan kumpulan itu menonjol dalam pasaran pembinaan Sabah yang berkembang pesat dan mewujudkan asas kukuh untuk kerjasama masa depan.
"Rekod kerja-kerja kami yang terbukti sebelum ini dan kapasiti operasi besar memainkan peranan penting dalam usaha mendapatkan kontrak berprestij tersebut.
"Kami menjangkakan pesanan projek selanjutnya daripada China State Construction Engineering, yang mencerminkan kepercayaan berterusan mereka terhadap keupayaan dan prestasi kami," tambahnya. - DagangNews.com








