KUALA LUMPUR 30 Mei – Meta Bright Group Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 222% kepada RM175 juta bagi suku sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025 (9MFY25), berbanding RM54.36 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Peningkatan itu disumbangkan segmen bahan binaan, pajakan, hospitaliti, dan tenaga.
Segmen bahan binaan kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM141.62 juta, didorong prestasi kukuh Expogaya Sdn Bhd yang diambil alih pada Januari 2024.
Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik, Derek Phang Kiew Lim berkata, prestasi memberangsangkan itu hasil pelaksanaan strategi pertumbuhan dan kepelbagaian sejak setahun lalu.
"Kami berpuas hati dengan peningkatan berterusan aliran tunai operasi, yang memberi ruang lebih besar untuk meneroka peluang dan pelaburan strategik.
"Meskipun persekitaran pasaran mencabar, model perniagaan pelbagai kumpulan terus menjana pertumbuhan stabil dan menambah nilai kepada pemegang saham.
"Dengan jumlah tempahan kukuh, asas kewangan teguh serta inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan, kami yakin Meta Bright berada pada landasan kukuh untuk mengekalkan momentum pertumbuhan menjelang akhir FY25," katanya dalam satu kenyataan.
Untung bersih boleh diagihkan kepada pemilik syarikat (PATAMI) turut meningkat 145% kepada RM6.95 juta berbanding RM2.83 juta sebelumnya, mencerminkan keberkesanan strategi kepelbagaian dan kecekapan operasi.
Hasil turut meningkat 57% kepada RM53.42 juta berbanding RM33.95 juta pada 3QFY24.
Kumpulan menjana aliran tunai operasi RM14.47 juta dalam tempoh tersebut, berbanding aliran tunai negatif RM10.66 juta tahun sebelumnya, mencerminkan keupayaan penjanaan tunai yang kukuh.
Mengulas prospek, kumpulan kekal komited meneroka peluang baharu dalam pembangunan hartanah, tenaga dan infrastruktur, termasuk pembangunan berterusan di Sabah.
Kumpulan turut merancang memperkukuh segmen hospitaliti melalui penambahbaikan Renai Hotel dan kemudahan lain.- DagangNews.com








