KUALA LUMPUR 22 Dis - Projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus menunjukkan perkembangan positif selepas mengalami beberapa kelewatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Status pencapaian terkini adalah pemasangan meriam utama kapal jenis Bofors 57mm Mk3 pada kapal pertama, KD Maharaja Lela.
Lumut Naval Shipyard (LUNAS) baru-baru ini mengeluarkan video kemas kini melalui halaman media sosial rasmi syarikat menunjukkan kerja-kerja pemasangan tersebut.
Berdasarkan rakaman, kelihatan meriam utama Bofors 57mm Mk3 bersama dengan kupola meriam halimunan (stealth cupola) pada LCS pertama.

Kejayaan ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan program LCS TLDM yang dihasratkan untuk memperkukuhkan keupayaan tempur di perairan wilayah negara.
Meriam Bofors 57mm Mk3 yang dipasang pada LCS dikawal sepenuhnya oleh sistem komputer kawalan tembakan.
Bagaimana pun, ia turut dilengkapi dengan ciri keselamatan tambahan di mana meriam ini boleh dikendalikan secara manual oleh kru melalui panel instrumen yang berada di lokasi meriam.
Ini memberikan kelebihan dalam situasi kecemasan atau sekiranya sistem elektronik tidak berfungsi.


Salah satu ciri utama meriam Bofors 57mm Mk3 ini adalah keupayaannya untuk melepaskan empat butir peluru setiap saat.
Meriam ini juga boleh menggunakan peluru pintar untuk menghadapi pelbagai jenis sasaran termasuk ancaman dari udara, laut dan darat serta memberikan keupayaan tembakan antidron yang sangat efektif.
Selepas ini kapal berkenaan akan menjalani ujian pelayaran.
Selain meriam Bofors 57mm, KD Maharaja dijangka dilengkapi dengan 8 peluru berpandu antikapal Kongsberg NSM, sistem peluru berpandu pertahanan udara, 2 pelancar torpedo dan 2 meriam 30mm untuk pertahanan jarak dekat.
KD Maharaja Lela yang dilancarkan pada tahun 2017 dijangka akan diserahkan kepada TLDM pada tahun 2026.


Ia merupakan kapal pertama dari 5 buah kapal LCS yang dirancang untuk TLDM dengan anggaran kos keseluruhan kira-kira RM11.2 bilion.
Kapal KD Maharaja Lela yang memiliki panjang 111 meter mempunyai jarak operasi sekitar 5,000 batu nautika dan mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 28 knot.
Apabila selesai, kapal-kapal ini akan meningkatkan keupayaan tempur TLDM dan memberikan kelebihan strategik dalam menghadapi ancaman maritim. - DagangNews.com








